Tuesday 14 June 2011

Sejarah Perkhidmatan Awam

 

Perkhidmatan Awam Malaysia atau dahulunya dikenali sebagai Malayan Civil Service (MCS) telah melaksanakan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial di negara ini. Dicorakkan melalui perkembangan sejarah negara, sosial dan institusi politik, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai rekod yang amat menarik. Sewaktu era pra-kemerdekaan, pihak British telah memperkenalkan struktur dan amalan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan asas kepada rakyat dalam usaha untuk menjamin keamanan yang selari dengan aktiviti ekonomi dan politik pada waktu itu. Struktur dan amalan tersebut merupakan asas penubuhan kepada MCS.

Dengan tujuan untuk membangun berdasarkan kepercayaan di atas kemampuan sendiri selepas kemerdekaan, Perkhidmatan Awam Malaysia telah melalui banyak perubahan di mana struktur perkhidmatan awam telah diorientasikan semula dan mengalami evolusi yang relevan dan progresif melalui pengenalan penambahbaikan yang terancang dan inovasi supaya seiring dengan pembangunan pada waktu itu dan keperluan masa hadapan. Hingga kini, Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai kekuatan seramai 1.2 juta orang meliputi 28 skim perkhidmatan termasuk perkhidmatan awam persekutuan, perkhidmatan awam negeri, perkhidmatan awam bersama, perkhidmatan guru, kehakiman, perundangan, polis dan tentera.

Perkhidmatan Awam Malaysia telah diperturunkan oleh legasi Perkhidmatan Awam British dengan perubahan asas yang telah berlaku secara signifikan 50 tahun lepas. Secara ringkas, apabila mengimbau kembali sejarah Perkhidmatan Awam Malaysia, penubuhannya bermula pada awal tahun 1700 apabila Syarikat India Timur British menakluki Pulau Pinang. Pada waktu itu, perkhidmatan awam dianggotai oleh pemegang biasiswa terbaik dan pintar dari England yang dilantik sebagai Pegawai Tadbir. Laporan Northcote-Trevelyan tahun 1845 telah menggariskan etos perkhidmatan awam yang memberi penekanan bahawa perkhidmatan awam yang neutral dari segi politik bermakna taat setia sepenuhnya kepada Kerajaan yang memerintah pada hari itu tidak mengira perbezaan fahaman politik. Penjawat awam yang profesional, sepatutnya menawarkan buah fikiran serta pandangan yang wajar dan adil, demi kepentingan rakyat dan taat kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Akhirnya, Perkhidmatan Awam harus memastikan kestabilan berterusan sekiranya berlaku pertukaran Kerajaan yang memerintah. Doktrin asas ini menentukan prinsip am Perkhidmatan Awam Malaysia untuk tempoh 50 tahun yang lalu sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pada lewat tahun 1800 menyaksikan penggabungan perkhidmatan awam di antara Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat kepada satu perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Federated Malay States Civil Service atau FMS). Penggabungan tersebut bertujuan untuk menyediakan kuasa pentadbiran secara berpusat dengan prosedur pengambilan bersama yang akan membenarkan pegawai untuk dilantik dan dihantar untuk berkhidmat di beberapa Negeri-Negeri Melayu. Dengan pelaksanaan pemerintahan secara berpusat, prosedur pengambilan diselaraskan bagi menarik calon-calon yang mempunyai taraf sekurang-kurangnya sama atau lebih baik untuk dilantik di dalam perkhidmatan awam dan ini merupakan asas permulaan kepada pengambilan secara tersusun dan profesional ke dalam perkhidmatan awam.

FMS telah berkembang dan membuka pintu kepada pegawai Melayu untuk menubuhkan perkhidmatan yang dikenali sebagai Perkhidmatan Pentadbir Melayu (Malay Administrative Service). Pada tahun 1903, terdapat seramai 332 orang Melayu daripada jumlah keseluruhan 6,607 penjawat awam di dalam Kerajaan. Raja Chulan bin Raja Abdullah yang pada awalnya telah berkhidmat di dalam Kerajaan sebagai Settlement Officer di negeri Perak menjadi orang Melayu pertama dilantik sebagai Pegawai Daerah in Perak Utara, seterusnya memecahkan penguasaan orang Eropah dalam perkhidmatan tersebut.

Di bawah perkembangan FMS dan Perkhidmatan Pentadbir Melayu, banyak reformasi pentadbiran telah diperkenalkan untuk meningkat dan menambah baik perkhidmatan awam. Antaranya, Skim Sterling, Gaji dan Pengelasan Stubb dan Suruhanjaya Bucknill yang terus memberi definisi dan memperkukuh prinsip perkhidmatan awam berkaitan sistem saraan cuti dan pencen dan terma perkhidmatan yang lain.

Apabila British meninggalkan Malaya selepas pendudukan Jepun pada tahun 1941, kewibawaan 85 pegawai Perkhidmatan Pentadbir Melayu diuji di mana tunggak pentadbiran negara terletak di dalam tangan mereka. Mereka berjaya menguruskan pentadbiran negara dengan baik dan terus memainkan peranan yang penting ke arah mencapai kemerdekaan pada tahun 1950an.

Permulaan pewujudan penggabungan perkhidmatan awam yang bersatu dimulakan apabila perkhidmatan koloni British seperti Perubatan, Pelajaran, Perundangan, Polis dan seumpamanya telah dicantumkan di bawah perkhidmatan yang dikenali sebagai Colonial Administrative Service, di mana MCS merupakan sebahagian daripada komponennya. MCS seterusnya telah mengalami evolusi dan kini dikenali sebagai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD), sebuah perkhidmatan yang unggul di mana peranannya telah bertukar dari developmentalist kepada fasilitator dan sekarang menjadi inovator yang instrumental untuk membawa negara maju dalam mencapai dominasi ekonomi, penambahbaikan pembangunan modal insan, menangani kedudukan ketidakseimbangan sosioekonomi, memperbaiki dan mengekalkan kualiti hidup dan memperkukuh institusi dan kapasiti pelaksanaan.

Secara umumnya, PTD dianggap sebagai perkhidmatan elit dan berprestij yang membekalkan Pegawai Tadbir di peringkat Persekutuan dan Negeri. Dengan sifat sebagai generalist di mana pegawai akan memberi khidmat dan berfungsi sebagai pentadbir, melaksanakan dasar Kerajaan di pelbagai agensi Kerajaan dan Kementerian memberi perspektif umum dengan peranan sebagai penasihat secara non-partisan kepada ahli politik. Sifat generalist PTD ini mempunyai kesan yang buruk kepada prestasi pegawai. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1990an, dasar pengambilan pegawai daripada pelbagai latar belakang pendidikan serta disiplin dan seterusnya ditempatkan untuk berkhidmat di kementerian dan agensi yang relevan telah sedikit sebanyak berjaya mengurangkan imej generalist PTD.

MCS telah berakar umbi dari Sistem Pentadbiran Koloni yang diwujudkan oleh British. Sehubungan itu, peninggalan perkhidmatan awam Malaysia banyak dibentuk oleh sifat profesionalisme, etos dan tidak kurang juga disumbangkan oleh rakyat asing yang tinggal di Malaysia sejak tahun 1950an dan 1960an. Tidak seperti sistem koloni British yang lain, pihak British telah mengekalkan struktur tradisi sosial dan institusi politik yang memerintah dengan beberapa pindaan. Malah sebelum negara mencapai kemerdekaan, pihak British telah memastikan golongan aristokrat Melayu dan ahli-ahli politik elit dilatih untuk mempunyai peranan di dalam sistem pentadbiran koloni.

Tindakan yang signifikan pada awal pasca kemerdekaan adalah berkaitan dasar “Malayanisasi” perkhidmatan awam. Ini merupakan agenda utama Kerajaan Perikatan dengan objektif untuk melengkapkan proses Malayanisasi pada 1 Julai 1960. Akhirnya, pada 15 Ogos 1968, Federal Establishment Office yang telah ditukar nama kepada Establishment Office of Malaysia pada tahun 1967 telah menerima pakai Jabatan Perkhidmatan Awam sebagai agensi untuk mengawasi semua perkara berkaitan pewujudan dan penstrukturan supaya seiring dengan agenda pembangunan negara.

Perkhidmatan Awam terus memainkan peranan yang penting di dalam tahun selepas kemerdekaan dicapai. Setelah mengharungi waktu yang sukar di dalam awal tahun-tahun selepas kemerdekaan seperti Darurat, kekacauan tahun 1969, dan mengambil kira pelbagai keperluan masyarakat majmuk, perkhidmatan awam telah memberi panduan perancangan yang berterusan, memelihara, dan melaksanakan dasar serta program Kerajaan bertujuan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial dalam usaha mengejar pembangunan dan modenisasi.

Perkhidmatan Awam telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam memperkenalkan dan melaksanakan dasar-dasar di dalam sektor perindustrian, pertanian dan sosial melalui pelbagai Pelan 5-tahun dan Dasar Ekonomi Baru yang telah diperkenalkan pada tahun 1970 di mana telah berjaya mengekalkan keseimbangan di antara pembangunan luar bandar dan industri, yang telah menjadi pendorong bagi pertumbuhan pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama mengurus implikasi sosial ke atas pelbagai etnik di negara ini.

Setelah menempuhi tahun-tahun tersebut, Perkhidmatan Awam telah berkembang dan mengharungi cabaran yang dilalui negara, menyesuaikan, disesuaikan dan memperkukuh program politik, ekonomi dan sosial yang telah menyumbang kepada negara ini sehingga menjadi sebuah negara yang paling maju dan moden di rantau ini. Bukan sekadar memastikan kemajuan berjalan lancar, Perkhidmatan Awam juga telah membantu melonjakkan kedudukan negara ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi di kalangan negara-negara membangun.

Sejak kemerdekaan Perkhidmatan Awam Malaysia telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memenuhi keperluan dan hasrat rakyat dan stakeholders yang lain. Dengan kekuatan seramai 1.2 juta ahli, Perkhidmatan Awam Malaysia telah berperanan sebagai perunding, pengawal dan fasilitator. Di samping itu juga, ia telah menjadi pelancar kemajuan (pace setter) dan berperanan sebagai agen perubahan di negara ini. Dalam hubungan ini, perkhidmatan awam perlu melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk memberi perkhidmatan, mengurus kepentingan rakyat, memastikan keselamatan awam dan program komuniti.

Perkhidmatan Awam Malaysia secara signifikan telah menempa nama dan diiktiraf sebagai antara perkhidmatan awam yang terbaik di rantau ini. Ia telah melaksanakan peranan utama dalam pembangunan dan modenisasi Malaysia. Secara umum, usahanya untuk mentadbir Kerajaan dalam dekad-dekad yang lepas, telah berjaya memberi impak dalam memperbaiki tadbir urus dan kualiti perkhidmatan awam.

Dalam usaha menjayakan kedua-dua Dasar Visi Nasional dan Misi Nasional bermula dari tahun 2001 hingga 2020, Perkhidmatan Awam Malaysia secara berterusan melakukan pelbagai penambahbaikan dalam tempoh yang mencabar ini. Dengan pelbagai petikan seperti “No Wrong Door Policy”, “Business is not as Usual” dan penubuhan PEMUDAH telah membantu untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan karenah birokrasi dan menyediakan perkhidmatan yang produktif, kreatif dan inovatif,ia diharapkan akan menjadi rakan akrab di dalam pelbagai sektor bagi memastikan kemakmuran negara Kesemua ini bertujuan untuk menjadikan Perkhidmatan Awam Malaysia bertaraf dunia dan memenuhi tanda aras antarabangsa dari segi prestasi dan kecemerlangan.

Rujukan :

1. "Service Par Excellence" (2005) oleh Wan Mansor Abdullah. Penerbit: INTAN

2. "Imbasan KPPA" (1995) oleh Mahmud Taib. Penerbit: INTAN

3. "Public Service Impartiality in Decision Making": Paper presented at the 13 th Civil Service Conference 2008 oleh Y. Bhg Dato’ Zainal Kling who is the Tun Ghaffar Baba Chair of Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia

4. "Public Service Leadership: The Paradox of Power and Character" : Paper presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.B Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar

5. "Exemplary Personalities in the Malaysian Public Service" : Paper presented at the 13th Civil Service Conference 2008 oleh Y.Bhg Tan Sri Datuk Haji Arshad bin Ayub

0 comments:

Post a Comment