Thursday 23 June 2011

PTD - Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik

sumber: INTAN

Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik 

Latar Belakang


Perkhidmatan Awam Malaysia mempunyai peranan yang signifikan dalam memastikan negara dan masyarakat dapat mengecapi keharmonian dan kemakmuran. Sehubungan itu juga, keberkesanan perkhidmatan awam merupakan penyumbang utama kepada kepesatan pembangunan negara bagi membolehkan Malaysia berdiri teguh sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat dan dihormati di persada dunia.

Dalam konteks sektor awam di negara ini, Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan perkhidmatan premier yang membantu kerajaan dalam merencana dan melaksanakan dasar-dasar negara. Sebagai teras perkhidmatan awam negara, pegawai-pegawai PTD telah mengisi kebanyakan jawatan-jawatan utama di peringkat kementerian dan jabatan, badan berkanun persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, syarikat milik kerajaan dan badan-badan antarabangsa.

Dari perspektif sejarah, skim perkhidmatan PTD lahir sebagai kesinambungan daripada jentera pentadbiran negara semenjak sebelum kemerdekaan. Ia bermula seawal tahun 1896, apabila perkhidmatan yang dinamakan Straits Settlements and Federated Malay States Civil Service telah diwujudkan oleh British untuk mentadbir Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Kemudian pada tahun 1920, Malayan Civil Service telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh pegawai-pegawai kolonial untuk mentadbir Tanah Melayu. Malayan Civil Service (MCS) telah mengalami pelbagai transformasi sepanjang penubuhannya. Pada tahun 1929, Malay Administrative Service telah diwujudkan dengan mengambil pegawai-pegawai Melayu sebagai pelapis kepada MCS.

Pada tahun 1966, MCS telah digantikan dengan Malaysian Home and Foreign Service (Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri Malaysia). Namun begitu, peranan penting perkhidmatan ini dalam sistem pentadbiran awam Malaysia tetap kekal berterusan. Akhirnya pada tahun 1972, perkhidmatan ini telah ditukar namanya kepada Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan seterusnya kekal sehinggalah sekarang.



PROSES PENGAMBILAN PTD

Bagi memasuki perkhidmatan PTD, seseorang calon itu perlu terlebih dahulu mendaftar dengan pihak Suruhanraya Perkhidmatan Awam sama ada melalui Borang SPA 8 ataupun secara online di laman http://www.spa.gov.my. Secara umumnya, semua calon akan melalui tiga tapisan sebelum mereka dilantik sebagai pegawai PTD.

Peperiksaan

Hanya mereka yang mempunyai kelayakan minimum sekurang-kurangnya ijazah Sarjana Muda dengan kepujian yang diiktiraf sama ada daripada universiti tempatan mahupun luar negara, akan dipanggil untuk mengambil peperiksaan khas bagi memasuki perkhidmatan PTD ini. Soalan-soalan yang dikemukakan dalam peperiksaan tersebut meliputi pelbagai bidang pengetahuan, berbentuk objektif dan subjektif serta terbahagi kepada lima bahagian seperti berikut:

Seksyen A – Pengetahuan am mengenai Malaysia dan alam sekeliling.
Seksyen B – Daya menyelesaikan masalah.
Seksyen C – Pengertian dan kefahaman terhadap esei-esei.
Seksyen D – Menulis esei Bahasa Melayu.
Seksyen E – Menulis esei Bahasa Inggeris.

PTD Assessment Centre (PAC)

Hanya mereka yang berjaya dalam peperiksaan memasuki PTD sahaja akan dipanggil untuk ke tapisan yang seterusnya iaitu PTD Assessment Centre (PAC). PAC merupakan mekanisme bagi membantu pihak JPA membuat penilaian terhadap kesesuaian dan kelayakan calon-calon PTD sebelum diperakukan kepada SPA untuk tujuan temu duga dan lantikan ke perkhidmatan awam. Pelaksanaan PAC ini bermula sejak tahun 1999 dengan melibatkan kesemua INTAN kampus wilayah termasuk INTAN Sabah dan INTAN Sarawak.
Program penilaian ini akan dilaksanakan selama tiga hari. Aspek-aspek kompetensi yang akan diuji adalah seperti berikut:


1. Kualiti Personal-  tatakelakuan, penampilan, keyakinan diri, penggerak kumpulan, potensi kepimpinan

2. pengetahuan- kematangan idea

3. kemahiran- komunikasi, pengucapan awan, debat


Calon-calon akan turut menjalani ujian kecergasan iaitu larian 2.4 km dengan kiraan masa. Selain itu, mereka juga perlu mengikuti latihan jasmani yang lain.


Temu duga

Tapisan terakhir yang perlu ditempuhi oleh calon-calon sebelum mereka layak diterima sebagai PTD adalah temu duga yang dijalankan oleh pihak SPA. Penilaian calon semasa PAC akan diuruskan oleh Urus setia PAC dengan menyedia dan menyelenggara satu pangkalan data markah. Nama-nama calon akan disusun mengikut keutamaan atau ranking dan kemudiannya akan dibentang serta diserahkan kepada SPA. Hanya mereka yang mendapat penilaian yang tinggi sahaja dan benar-benar berkeupayaan akan dipanggil untuk mengikuti temu duga bagi memasuki ke perkhidmatan PTD

Jawatan  : Pegawai Tadbir dan Diplomatik
Gred  : M41
Kumpulan  : Pengurusan dan Profesional
Kem./Jab.  : Jabatan Perkhidmatan Awam
Jadual Gaji :
P1T1 RM1993.63 – P1T24 RM4718.25
P2T1 RM2089.64 – P2T24 RM5001.98
P3T1 RM2189.83 – P3T24 RM5295.68

Syarat Lantikan:

i)  Ijazah Sarjana Muda Kepujian yang diiktiraf oleh kerajaan daripada
institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang
diiktiraf setaraf dengannya; atau

ii) Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi-institusi
pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf
dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred M41: P1T4 RM2269.15]; atau

iii) Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang diiktiraf oleh kerajaan daripada
institusi-institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang
diiktiraf setaraf dengannya.
[Gaji permulaan ialah pada Gred M41: P1T7 RM2544.67); dan

iv) lulus peperiksaan memasuki perkhidmatan tadbir dan diplomatik yang
ditetapkan; dan

v) kepujian B.M. (termasuk lulus Ujian Lisan) pada peringkat SPM atau
kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan.


LANTIKAN

Mereka yang berjaya dalam proses temu duga akan menerima surat tawaran pelantikan sebagai pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik. Untuk menjadikan para pegawai PTD muda yang baru dilantik ini memiliki tahap pengetahuan, kemahiran dan budaya kerja yang cemerlang, program-program khusus telah diatur bagi mencapai matlamat tersebut. Secara umumnya terdapat empat tahap latihan yang perlu diikuti secara mandatori oleh pegawai PTD lantikan baru.


Tahap 1 : Kursus PTD Unggul 

Unggul bermaksud tersohor, terbilang atau something beyond the ordinary. Sememangnya perkhidmatan PTD memerlukan penjawatnya mempamerkan budaya kerja unggul supaya mereka dapat memimpin dengan berkesan, memenuhi kehendak dan keperluan negara serta mampu menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang. Oleh itu peringkat ini menyediakan tahap keperluan yang paling asas bagi perkhidmatan seorang pegawai PTD.

Modul PTD Unggul ini dilaksanakan di kampus-kampus INTAN yang terpilih bagi tempoh selama 10 hari yang bertujuan untuk mencapai objektif-objektif berikut:

i) mempertingkatkan kesedaran para peserta dengan nilai-nilai murni demi kecemerlangan diri, organisasi dan negara;

ii) memupuk pengetahuan para peserta tentang aspirasi dan hasrat stakeholders terhadap perkhidmatan awam yang unggul pada masa hadapan; dan

iii) mendedahkan para peserta kepada sistem pembelajaran bersepadu merangkumi aspek jasmani, mental dan rohani bagi melahirkan insan yang seimbang.

Penyumbang input kepada modul ini terdiri daripada pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing. Pada akhir modul ini, para pegawai PTD lantikan baru ini akan mengetahui penempatan tugas masing-masing iaitu sama ada di agensi pusat, kementerian, jabatan ataupun negeri.


Tahap 2 : Penempatan di Kementerian atau Jabatan


Pada peringkat ini, seseorang pegawai PTD muda akan di ditempatkan di mana-mana bahagian atau cawangan di kementerian atau jabatan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri. Sebagai peneraju perkhidmatan awam, penempatan di jabatan kerajaan ini bertujuan untuk mengukuhkan kesedaran mereka mengenai tanggungjawab sebagai pemimpin, perencana dan pelaksana dasar-dasar negara serta penasihat kepada kerajaan kelak. Semasa penempatan ini, mereka turut dilatih secara on the job training untuk membolehkan mereka memahami dan menguasai tugas sebagai penjawat awam.

  
Tahap 3 : Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA)


Pada tahap ini pegawai PTD muda akan dipanggil untuk mengikuti Kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) selama enam bulan di INTAN, Kampus Utama Bukit Kiara. Kursus ini perlu diikuti dengan jayanya kerana ia adalah syarat utama bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan PTD gred M 41. INTAN sebagai institusi latihan utama dalam sektor awam bertanggungjawab mengendalikan Kursus DPA ini yang berbentuk intensif dan sepenuh masa. Matlamat kursus ini adalah untuk:
  • Melahirkan pegawai PTD yang berketrampilan dan mampu menghasilkan prestasi dan produktiviti yang tinggi melalui amalan budaya kerja cemerlang; 
  • Membentuk pegawai PTD yang sentiasa peka kepada kehendak-kehendak pelanggan, memiliki nilai-nilai kemanusiaan, berhemah tinggi, berbudaya (cultured) dan berdisiplin serta mengamalkan kerjasama berpasukan yang berkesan; 
  • Melahirkan pegawai PTD yang patuh kepada agama, taat-setia kepada bangsa dan negara, bangga terhadap perkhidmatannya serta memahami dan mendokong dasar-dasar pembangunan negara; dan 
  • Melahirkan pegawai PTD yang berfikiran global dan berupaya menangani perubahan persekitaran yang dinamik. 
Pendekatan Kursus DPA ini terbahagi kepada dua iaitu latihan akademik dan latihan bukan akademik. Latihan akademik merujuk kepada aspek pembelajaran secara ilmiah dalam bilik kuliah. Modul-modul akademik yang dibentuk adalah berasaskan kepada lapan bidang teras PTD iaitu pengurusan sumber kewangan, pengurusan sumber ekonomi, pengurusan sumber manusia dan organisasi, hubungan antarabangsa dan hal-ehwal dalam negeri, pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, pentadbiran dan pembangunan tanah, daerah dan tempatan, perancangan dan pentadbiran sosial serta keselamatan dan pertahanan negara.

Peserta didedahkan kepada pelbagai input berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan organisasi, pengurusan ekonomi dan kewangan, perlembagaan dan undang-undang, bahasa dan komunikasi dan sebagainya bagi melengkapkan mereka menjadi pegawai yang kompeten.

Latihan bukan akademik bertujuan untuk membentuk peningkatan disiplin, ketahanan fizikal, mental, rohani dan spiritual para peserta melalui pembelajaran luar bilik kuliah, latihan ketenteraan, pengurusan bencana, aktiviti lasak dan sistem mentor-mentee. Melalui pendekatan ini, peserta Kursus DPA perlu menjalani latihan lasak, antaranya modul ketahanan diri dan disiplin di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA), Maktab Polis Di Raja Malaysia, Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat serta Outward Bound School. Latihan lasak ini adalah khusus untuk pembentukan sahsiah diri (character building) dan peningkatan tahap disiplin yang tinggi. Selain itu juga beberapa subjek lain seperti etika sosial, protokol, pengucapan awam, lawatan sambil belajar, event management, sukan dan sebagainya turut dimuatkan dalam latihan bukan akademik ini.


Tahap 4 : PTD Training Roadmap


Tahap keempat dilaksanakan selepas pegawai PTD muda menamatkan Kursus DPA dan kembali berkhidmat ke kementerian atau jabatan masing-masing. Berdasarkan kepada konsep pembelajaran berterusan, mereka ini akan dipanggil untuk mengikuti siri kursus yang dikenali sebagai PTD Training Roadmap, gred M 41. Pemilihan peserta untuk mengikuti kursus ini akan ditentukan oleh Bahagian Perkhidmatan, JPA. Objektif kursus-kursus dalam siri ini adalah untuk meningkatkan kompetensi dan kepakaran para pegawai PTD muda dalam bidang-bidang khusus iaitu seperti berikut:
  • Penulisan kertas cadangan dan laporan berkualiti
  • Kemahiran komunikasi dan interpersonal
  • Pengurusan kewangan dan akauntabiliti
  • Pengurusan dasar sektor awam
  • Pengurusan sumber manusia di sektor awam
  • Perancangan dan pengurusan projek
  • Kemahiran perancangan strategik
  • Metodologi penyelidikan
  • Pentadbiran tanah

0 comments:

Post a Comment