Sunday 12 June 2011

Dasar Ekonomi: Program Transformasi Ekonomi

 

copy paste from- http://goaypastpm.wordpress.com

BAJET 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 15 Oktober 2010 menggariskan empat strategi utama untuk memacu ekonomi negara. Empat strategi terbabit ialah merancakkan pertumbuhan swasta; mempergiat pembangunan modal insan; menambah baik kualiti hidup; dan, memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Strategi yang digariskan itu adalah bertujuan memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara berlaku secara mapan dan konsisten, iaitu pada kadar enam peratus. Strategi merancakkan pertumbuhan swasta membuktikan bahawa penglibatan sektor swasta sangat penting dalam menjana dan memacu ekonomi negara.
Kerajaan telah menetapkan sasaran pelaburan swasta perlu berkembang pada kadar 12.2 peratus (RM115 bilion) setahun. Justeru, menurut laporan Program Transformasi Ekonomi (ETP): Hala Tuju Untuk Malaysia yang dikeluarkan pada 25 Oktober lalu mengiktiraf peranan sektor swasta dalam memudah pertumbuhan ekonomi menerusi ETP.

Menurut laporan ETP itu, risiko paling nyata ialah jika pertumbuhan 12.2 peratus dalam pelaburan swasta setiap tahun gagal dicapai. Jika ini berlaku ia akan turut menjejaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RMK-10 adalah penentu atau kayu pengukur bagi negara mencapai misi nasional, iaitu Wawasan 2020. Pertumbuhan enam peratus ekonomi negara dalam tempoh RMK-10 tidak akan tercapai sekiranya sektor swasta gagal memainkan peranannya sebagai enjin utama menjana dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum berlakunya krisis ekonomi pada 1997/1998, sektor swasta dianggap sebagai “lokomotif ” utama menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang 30 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hari ini, kerajaan mahu memastikan peranan tersebut dipikul semula oleh sektor swasta. Sektor swasta penting untuk menjayakan ETP dan RMK-10 yang berhasrat menjadi negara sebagai negara berpendapatan tinggi.

Penekanan kerajaan terhadap pelaksanaan 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) dilihat mampu mendorong pelaburan sektor swasta yang menggalakkan. 12 bidang utama NKEA itu termasuklah: pertanian; perkhidmatan perniagaan; pendidikan; elektrik dan elektronik; perkhidmatan kewangan; penjagaan kesihatan; Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang; minyak, gas dan tenaga; minyak sawit; kandungan komunikasi dan infrastruktur; pelancongan; dan, pemborongan dan peruncitan.

Sektor perkhidmatan kewangan dilihat antara bidang teras NKEA kerana peranannya yang penting bagi memperkukuh dan memastikan kesemua aspek industri atau perusahaan dapat kekal bertenaga dan maju serta dapat menyokong keperluan perniagaan dan pengguna dengan cekap dan berkesan.
NKEA adalah sebahagian daripada ETP yang akan menjadi jentera pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan lebih 3.3 juta peluang pekerjaan baru menjelang 2020. Dijangkakan NKEA akan menjana pelaburan sebanyak RM1.3 trilion (AS$444 bilion) sepanjang tempoh RMK-10 . Daripada jumlah itu, 73 peratus pelaburan NKEA dijangka menerusi pelaburan langsung domestik dan selebihnya daripada pelaburan asing.

Dana sektor awam dijangka hanya menyumbang empat peratus untuk membantu menjayakan bidang NKEA terbabit. Kerajaan menyediakan beberapa mekanisme bagi membantu penglibatan aktif sektor swasta dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. Misalnya, kerajaan mewujud dan melaksanakan perkongsian awam-swasta (PPP). PPP adalah pendekatan bagi menjayakan RMK-10.

Beberapa projek PPP telah pun di kenal pasti yang antaranya membabitkan projek pembinaan lebuh raya, projek pembangunan kesihatan, projek pembinaan pusat akademik perubatan, projek pembinaan loji jana kuasa kira padu gas 300 megawatt di Kimanis, Sabah, projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL dan projek pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buluh.
Selain itu, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) diwujudkan di bawah RMK-10 yang berjumlah RM15 bilion akan dapat mengurangkan beban kerajaan dalam membiayai projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi yang menelan kos yang besar. Untuk itu, sebuah dana khas diwujudkan di bawah Pasukan Petugas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah).

Ia bertujuan mempermudah PFI dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Mana-mana projek swasta (projek PFI) yang tidak berdaya maju akan diubah menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju dengan bantuan dana tersebut.

Langkah mewujudkan Pemudah adalah bertepatan dengan strategi keempat Bajet 2011, iaitu memantapkan sistem penyampaian awam sejajar dengan prinsip gagasan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Salah satu indeks atau petunjuk utama sesebuah negara maju ialah pembangunan modal insan. Justeru, strategi mempergiat pembangunan modal insan di bawah Bajet 2011 amat penting untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Peruntukan besar sebanyak RM29.3 bilion kepada sektor pendidikan negara membuktikan bahawa kerajaan amat mengutamakan pembangunan modal insan. Peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding peruntukan pendidikan di bawah Bajet 2010 iaitu RM25.5 bilion.

Keperluan terhadap modal insan yang berkualiti tinggi adalah selari dengan Model Baharu Ekonomi (MBE) yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah. Untuk menjayakan MBE maka kita memerlukan modal insan yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta kreatif dan inovatif. Pelabur hari ini bukan sahaja melihat kepada faktor kos yang dapat dijimatkan tetapi juga melihat keupayaan dan kemahiran pekerja memacu operasi perniagaan mereka.

Justeru, mereka memerlukan pekerja yang berilmu, berkemahiran tinggi, berinovasi, kreatif, beretika dan kompetitif. Kemahiran komunikasi yang tinggi juga merupakan nilai tambah yang perlu ada pada modal insan kita, terutamanya yang melibatkan bidang-bidang profesional. Kita masih kekurangan dalam aspek ini.



Kenegaraan: Program Transformasi Ekonomi (ETP)

Sembilan Projek Permulaan (EPP) baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mampu menyumbang RM33 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI) dan mewujudkan lebih 71,500 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Semua projek membabitkan pelaburan RM9 bilion itu akan memacu industri minyak dan gas, tenaga, elektronik, pelancongan serta pendidikan. Ini membabitkan tiga projek memajukan industri minyak dan gas serta tenaga, dua projek bagi memacu sektor elektronik, tiga projek meningkatkan nilai sektor pelancongan dan satu projek khusus bagi mengembangkan sistem pendidikan prasekolah.

Pelaburan yang besar ini penting bagi menyokong ekonomi Malaysia memandangkan ia terus berkembang. Kapasiti yang meningkat penting untuk menyediakan tenaga kepada perniagaan dan jumlah penduduk yang semakin berkembang dalam negara.

Insentif cukai baru diberi bagi menggalakkan pembangunan sumber minyak dan gas baru membabitkan pengurangan kadar cukai bagi pembangunan medan minyak baru. Walaupun akan menyebabkan kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM8.1 bilion dalam bentuk elaun percukaian, tetapi berpotensi membawa hasil petroleum tambahan RM50 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Projek EPP baru itu membabitkan pembangunan Taman Perindustrian Minyak & Gas dan Logistik Tanjong Agas di tapak seluas 1,704 hektar di Pekan, Pahang yang akan dibangunkan Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd membabitkan pelaburan RM3 bilion bagi tempoh 2011 hingga 2012. Projek ini dijangka menyumbang RM30 bilion kepada GNI sepanjang 10 tahun akan datang dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan melabur RM4 bilion tahun depan bagi membangunkan dua loji jana kuasa hidro baru, iaitu projek Hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Skim Hidroelektrik Hulu Terengganu dengan kemampuan menjana 600 MW tenaga elektrik. Projek ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan kapasiti tenaga tambahan diperlukan bagi membekal tenaga mencukupi kepada perniagaan dan penduduk yang semakin meningkat.

Pembangunan Kelompok Kejuruteraan, Sains dan Inovasi Lanjutan diterajui Taman Teknologi Malaysia (TPM) pula meningkatkan pengkomersialan penyelidikan akademik di Malaysia membabitkan pelaburan RM374 juta sehingga 2020. Pelaksanaan projek itu dijangka menyumbang RM636 juta kepada GNI dan mewujudkan 20,900 peluang kerja baru.



Cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

GST untuk kebaikan semuaBAYARAN makanan termasuk cukai perkhidmatan yang dikenakan di restoran mungkin dapat dikurangkan melalui pengenalan GST.
——————————————————————————–

JIKA mengikut perancangan awal kerajaan, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) sepatutnya sudah dilaksanakan dua tahun lalu iaitu pada 2007. Bagaimanapun, pelaksanaannya yang diperkenalkan pada 2005 ditangguhkan kerana dilihat agak tergesa-gesa selain negara memerlukan sebuah penstrukturan semula cukai yang lebih sistematik.

Selepas empat tahun, kajian mekanisme GST menerusi Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan ketika ini sudah berada pada fasa terakhir dan akan dibentangkan pada akhir sidang Dewan Rakyat. Pelaksanaannya pula dijangka pada 2011.

Tidak dinafikan, pelaksanaan GST memberi kelebihan terutamanya kepada kerajaan dalam meningkatkan aliran pendapatan yang kemudiannya boleh digunakan bagi melaksanakan projek-projek untuk manfaat seluruh rakyat.

Asas percukaian yang lebih meluas serta yang dikenakan pada satu kadar akan memudahkan kerajaan mengurus dan mentadbir sistem tersebut. Ia juga mudah difahami oleh rakyat berbanding cukai yang dikenakan pada kadar berbeza bagi perkhidmatan dan barangan yang berlainan.

Ia juga dapat mengurangkan beban pembayar cukai kerana jumlah yang membayar cukai pendapatan hanya beberapa peratus berbanding keseluruhan rakyat Malaysia.

Itu antara kelebihan yang dinikmati oleh rakyat di negara yang sudah lama melaksanakan GST seperti di New Zealand, Australia dan Singapura.

Di rantau Asia Tenggara ini pula, hampir seluruh negara sudah melaksanakan sistem cukai itu melainkan tiga buah negara sahaja iaitu Malaysia, Brunei dan Myanmar.

Namun kita perlu realistik dalam membuat perbandingan kerana tidak semua pelaksanaan GST memberi kelebihan kepada negara-negara tertentu.

Di Kanada misalnya, kerajaan Parti Progresif Konservatif pimpinan Perdana Menteri Brian Mulroney tumbang pada 1993 apabila memperkenalkan GST pada 1989. Hong Kong juga ketika ini dikatakan sedang mengkaji semula pelaksanaan GST.

Ini secara tidak langsung menunjukkan pelaksanaan GST bukan mudah untuk diterima lebih-lebih lagi di kalangan rakyat.

Terdapat beberapa perkara daripada pelaksanaannya yang jika tidak diperhalusi boleh membebankan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Apatah lagi dalam suasana ekonomi yang agak perlahan ketika ini serta kos kehidupan yang agak tinggi, pelaksanaan GST mungkin dilihat tidak kena pada masanya.

Dalam sistem percukaian yang digunakan ketika ini misalnya, golongan berpendapatan rendah tidak dikenakan cukai. Tetapi selepas pelaksanaan GST, mereka bakal dikenakan cukai secara tidak langsung yang dipindahkan kepada perkhidmatan dan barangan.

Bagi rakyat berpendapatan rendah, hakikat itu mungkin satu bebanan berbanding dengan golongan kaya yang mendapat kelebihan kerana tidak lagi perlu membayar cukai yang tinggi serta beberapa cukai yang dikecualikan.

Rakyat juga bimbang pelaksanaan GST akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang melambung tinggi. Ini sememangnya berlaku di negara-negara yang mula melaksanakan dasar tersebut.

Gambaran-gambaran sebeginilah yang berlegar-legar di kalangan rakyat kebanyakan menyebabkan ramai yang masih belum faham mengenai GST. Lebih malang, ia dimanipulasi pula oleh sesetengah pihak untuk menghentam kerajaan meskipun mereka mengetahui pelaksanaannya mampu memberi kelebihan kepada semua pihak.

Hakikatnya, GST mengecualikan beberapa perkhidmatan dan barangan asas yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk disediakan kepada rakyat kebanyakan, lebih-lebih lagi kepada golongan miskin.
Antaranya yang dijangkakan bebas GST ialah makanan, pendidikan, kesihatan serta aktiviti-aktiviti yang berkaitan kebajikan dan keagamaan. Perlu juga untuk difahami bahawa cukai GST adalah cukai yang dikenakan ke atas pengguna dengan asas yang lebih meluas. Bukannya cukai perniagaan yang membolehkan kumpulan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati.

Dalam situasi ini, peranan peniaga hanyalah sebagai ejen cukai kepada kerajaan. Kenaikan harga barang dalam satu-satu masa pula lebih kepada barangan mewah.

Bagi pemerhati ekonomi, Nassrul Hakim Md Jani, beliau berpandangan GST memberi kelebihan dari dua sudut iaitu memudahkan kerajaan mengutip cukai dengan jaminan ia berjalan lebih cekap.

Dalam masa yang sama jelas pensyarah Pengurusan Perniagaan dan Ko-ordinator Pusat Informasi Usahawan di Kolej Profesional Mara, Melaka ini, pelaksanaannya juga dapat mengurangkan bebanan pembayar cukai pendapatan yang sebenarnya minoriti.

Bagaimanapun katanya, GST wajar bermula pada kadar yang rendah sebelum dinaikkan beransur-ansur supaya tidak membebankan rakyat.

Beliau mengambil contoh Singapura yang mula memperkenalkan GST pada 1994 pada kadar sebanyak tiga peratus dan menaikkan kepada lima peratus selepas itu.

Kadar itu tidak jauh berbeza dengan kadar yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu berkisar antara tiga hingga empat peratus yang relevan dengan situasi semasa.

Kadar yang rendah itu juga adalah komitmen kerajaan dalam mengimbangkan dengan kebajikan rakyat.
“Rakyat sebenarnya mengharapkan agar kerajaan menjadikan matlamat mendapatkan pendapatan kerajaan yang lebih baik sebagai keutamaan dalam pelaksanaan GST ini. Bukan semata-mata untuk meringankan beban golongan minoriti pembayar cukai walaupun kedua-dua faedah ini berlaku serentak,” katanya.
Dalam hal ini, kerajaan perlu menggiatkan lagi aktiviti kebajikan untuk rakyat bagi mengimbangi beban cukai yang bakal mereka tanggung.

Contohnya menaikan jumlah biasiswa kecil persekutuan untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan atau menambah peruntukan. Ini bagi membolehkan lebih ramai dapat menikmatinya memandangkan cukai ini ditanggung oleh semua individu yang berbelanja termasuk pelajar-pelajar sekolah.

Selain itu tambah Nassrul Hakim, perlu juga ada keseimbangan antara faedah kepada golongan berpendapatan tinggi dengan golongan berpendapatan rendah. Ini kerana tambah ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan kaya dan miskin amat berbeza.

Bagi golongan berpendapatan tinggi katanya, pengurangan pendapatan bermaksud mereka kini hanya boleh melancong dalam negeri berbanding luar negara seperti sebelum ini.

“Tetapi ‘definisi’ pengurangan pendapatan kepada golongan miskin bermakna jika dahulu mereka makan dua kali sehari, sekarang mereka terpaksa makan sekali sehari,” ujar beliau.

10 Dis 2009 KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua rakyat supaya tidak mempolitikkan langkah kerajaan melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

Perdana Menteri menegaskan pelaksanaan GST bertujuan membantu mengukuhkan kedudukan negara dan mengatasi kejatuhan perolehan cukai yang dipengaruhi kekurangan rizab minyak.

“Matlamat kita bukan mengenakan cukai terhadap barangan keperluan asas dan perkhidmatan tetapi untuk memperluaskan asas perolehan bagi membolehkan kita tidak terlalu bergantung kepada satu sektor saja (minyak) untuk menjana pertumbuhan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persekutuan Pembuatan Malaysia (FMM) di sini, malam tadi.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencari langkah baru bagi meningkatkan daya saing dan amalan pengurusan kewangan yang sihat.

“Kebenarannya ialah hampir semua pendapatan dan pertumbuhan negara banyak bergantung kepada perolehan hasil minyak yang akhirnya punca pendapatan ini akan hilang perlahan-lahan apabila sumber petroleum habis,” katanya.

Sementara itu kata Perdana Menteri, beliau percaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan pulih pada 2010 dan menjadi testimoni kepada kekuatan negara.

“Pertumbuhan tahun depan ternyata sekali adalah cita-cita, terutama ketika bajet defisit. Saya percaya kita mampu meningkatkan satu atau dua peratus tambahan daripada sektor swasta.
“Walaupun ia tidak mudah, saya berpendapat kita mampu mencapai sasaran itu,” katanya
Najib juga berkata, beliau gembira langkah dilaksanakan bagi melindungi Malaysia daripada kejatuhan ekonomi dan pada masa sama mampu pulih dengan pantas.

“Suka saya mengatakan kejayaan mencapai matlamat itu (melindungi dan memulihkan ekonomi) adalah melalui suntikan pakej rangsangan ekonomi serta dasar liberalisasi perdagangan diperkenalkan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pertumbuhan dan pembangunan sektor pembuatan begitu kritikal kepada kejayaan dan pembangunan masa depan Malaysia.

Katanya, semua pihak dalam sektor pembuatan perlu bekerjasama dan meneruskan langkah melabur serta menyokong dasar kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.

0 comments:

Post a Comment