Showing posts with label Govt. Plan. Show all posts
Showing posts with label Govt. Plan. Show all posts

Tuesday, 14 June 2011

Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

sumber: kementerian penerangan..

1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?

• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

2. Siapakah Menteri-menteri  yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?

• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:

I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)

II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)

III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)

V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)

VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?

• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut

• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan

• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.

• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.

• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.

4. Latar belakang merevolusikan pengurusan

Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan

• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.

• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.

• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.

• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?

• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.

• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.

• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.

• PM turut  meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?

1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah

• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.

• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

i) Jenayah jalanan

Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.

ii) Keselamatan awam

Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini  termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.

iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan

Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.

2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah

• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.

•  Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking  Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.

• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

3) NKRA yang ketiga  – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan

• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya.  Justeru, kerajaan  akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.

• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.

• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.

•  Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.  Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.

• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.

• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh,  akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi  pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.

4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah

• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.

• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010  semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.

•  Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang  menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.


5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman

• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.

• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.

• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.

•  Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.

• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.

• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.

• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana

• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.

• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya. 

Kesimpulan

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.

Selain daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian di utamakan.”

Monday, 13 June 2011

Teks ucapan pembentangan MEB oleh PM


2010/03/30

Berikut adalah teks ucapan pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur sebentar tadi.

PENGENALAN
 
1. Terima kasih di atas pengenalan tersebut. Saya amat berbesar hati berada di sini pada hari ini. Pemimpin perniagaan dan pelabur adalah penting untuk menentukan kesejahteraan ekonomi Malaysia - dan juga masyarakat. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas usaha, sumbangan dan penglibatan anda dalam beberapa perbincangan penting yang akan berlangsung sepanjang beberapa hari yang akan datang.

2. ‘Menerajui Kecemerlangan Global’ tema bagi Invest Malaysia 2010, adalah berpadanan dengan persekitaran Bursa Malaysia yang berpandangan jauh serta aspirasi yang dikongsi bersama bagi negara dan perniagaan. Ia juga bertepatan dengan apa yang ingin saya katakan pada hari ini. Dalam tahun baru, konteks baru, dan dunia yang semakin pulih dari kemelesetan, kita perlu fokus terhadap:

  • Pemulihan yang mapan dan kukuh dalam jangka masa pendek dan sederhana;
  • Meningkatkan daya saing Malaysia;
  • Merancakkan pelaburan dan pertumbuhan swasta;
  • Meletakkan negara ke arah mencapai tahap berpendapatan tinggi;
  • Membina ekonomi yang inovatif; dan
  • Transformasi nekad dan perubahan ekonomi untuk memodenkan model ekonomi demi masa hadapan.


3. Dua belas bulan yang lalu, agenda tersebut mungkin idealistik. Suasana ekonomi sangat berbeza ketika kita berhimpun di sini pada tahun lepas. Pada masa itu, dunia berada dalam kemelut kemelesetan ekonomi global yang pertama. Lebih 20 juta pekerjaan telah hilang. Sumber kekayaan bertrilion dolar terus hilang. Ekonomi di seluruh dunia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pengeluaran industri dan pelaburan modal jatuh mendadak.

4. Kita mengalu-alukan ketibaan tahun 2010. Namun, sementara Malaysia masih merasai kesan kemelesetan ini, saya percaya kita telah mengharungi rintangan dan mencapai kemajuan dalam menongkah arus. Kita enggan menjadi pemerhati pasif semasa kemelesetan ini melanda rantau Asia, justeru kita telah bertindak dengan tegas dan pantas.

5. Kita telah menyuntik RM67 bilion rangsangan fiskal, dan berjaya mengimbangi pelaburan negara yang dikehendaki dan perbelanjaan berhemat yang diperlukan untuk mengurangkan defisit bajet. Kita telah memperkenalkan rangkuman insentif dan inisiatif liberalisasi sektor perkhidmatan yang membuka peluang kepada pelaburan yang berkualiti tinggi dalam sektor utama ekonomi negara.

6. Kini, kita sedang menyaksikan hasil langkah-langkah tersebut. KDNK bagi suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, lebih tinggi daripada yang dijangkakan. Pakej-pakej rangsangan menjana ratusan projek infrastruktur penghasilan kerja. Eksport kembali pulih, dan pengaliran semula pelaburan asing yang berkualiti ke Malaysia. Defisit fiskal dijangka mengecil dari 7.0 peratus kepada 5.6 peratus pada tahun 2010. Indeks pengeluaran industri kembali kukuh dengan pertumbuhan 12.7 peratus pada Januari 2010. Jumlah eksport meningkat 37 peratus kepada RM52 bilion dan import bertambah 31 peratus kepada RM40 bilion.

7. Aktiviti sektor swasta yang positif juga amat menggalakkan. Coca-cola telah mengumumkan pelaburan bernilai 1 bilion ringgit yang mampu menjana 2,000 hingga 3,000 pekerjaan di Malaysia. IPO Maxis yang bernilai beberapa bilion ringgit merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dan ini mencerminkan visi keusahawanan yang biasa saya lihat dalam setiap syarikat tempatan. JCY Berhad juga merupakan satu contoh kebanggaan aktiviti sektor swasta, di mana ia bermula sebagai syarikat yang kecil dan kini, menghasilkan 25 peratus daripada pengeluaran pemacu cakera keras dunia. Melangkah ke hadapan, pegangan Kerajaan dalam pasaran akan dikurangkan, modal akan dijana, inovasi akan dipupuk dan kekayaan akan dihasilkan bagi memberi kemudahan untuk mengembangkan lagi ekonomi Malaysia.

8. Ekonomi global masih belum pulih sepenuhnya daripada kejutan kemelesetan sejak dua tahun lepas. Negara kita juga tidak terkecuali daripada menerima impak tersebut. Sungguhpun demikian, ekonomi Malaysia kini berada dalam landasan pemulihan yang kukuh. Keputusan yang diambil oleh Kerajaan dan visi sektor swasta yang dinamik telah membantu mewujudkan asas untuk pembangunan ekonomi Malaysia ke tahap seterusnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

CABARAN YANG DIHADAPI

9. Walaupun begitu, perjalanan kita masih jauh. Sebagai Kerajaan - dan Perdana Menteri - aspirasi kita untuk Malaysia dan rakyat Malaysia, adalah lebih jauh dan bukan sekadar membimbing negara ke arah pemulihan ekonomi. Justeru, segala usaha yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas akan sia-sia sekiranya kita kembali ke status asal. Saya tidak boleh menerima keadaan ini. Saya berjanji: kita akan bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membangun serta melaksanakan pembaharuan ekonomi yang diperlukan oleh negara untuk terus berkembang, untuk perniagaan berjaya dan yang paling utama untuk kemakmuran rakyat.

10. Ekonomi dunia - sebelum dan khususnya sejak krisis kewangan, telah mengalami perubahan yang ketara. Polisi sebelum ini yang memacu pertumbuhan tinggi dan membantu mengurangkan kemiskinan tegar, tidak lagi memadai untuk meningkatkan tahap pendapatan dan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita ingini. Kita tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya kepada modal baru untuk menjana pertumbuhan. Sebaliknya, kita harus menggunakan modal ini secara lebih efektif untuk meningkatkan produktiviti, merangsang inovasi dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja. Jika kita tidak bertindak pantas untuk mengenal pasti halangan dan bertindak balas secara efektif terhadap perubahan persekitaran ekonomi, kita akan menghadapi risiko kehilangan daya saing.

11. Kita tidak boleh lagi bergantung hanya pada beberapa sektor ekonomi untuk memacu pertumbuhan. Kita perlu mempelbagai dan memberi insentif kepada industri strategik yang baru di mana negara kita mempunyai kepakaran, kekuatan dan potensi untuk lebih berjaya. Selaras dengan perkembangan ini, kita juga harus memberi pertimbangan kepada manfaat yang boleh diperoleh daripada kompetensi tenaga kerja Malaysia yang berada di dalam dan di luar negara. Mereka - dengan sokongan bakat asing yang sesuai - mampu menyumbangkan kecerdasan minda, modal intelektual dan kemahiran untuk membantu merealisasikan matlamat kita dengan lebih bermakna. Saya menjemput kesemua rakyat Malaysia yang telah meninggalkan tanah air ini untuk kembali semula dan bersama-sama mengembleng tenaga dalam proses transformasi ini untuk mencapai potensi Malaysia yang sepenuhnya.

12. Sistem pendidikan kita perlu dikaji semula secara berterusan dan ditambah baik untuk melahirkan tenaga kerja masa depan, dengan komitmen kepada program berasaskan merit. Ini akan mendorong kecemerlangan dan memupuk graduan berbakat yang cemerlang dari segi pemikiran kreatif dan strategik serta kemahiran keusahawanan dan kepimpinan yang akan memacu kejayaan pada dekad mendatang.

13. Kita memerlukan kerajaan yang dapat membantu untuk memperkukuh sektor swasta. Ini bermakna, membentuk semula dan memperkasa sektor awam untuk menjadi lebih responsif dan bertanggungjawab kepada keperluan sektor swasta dan perniagaan.

14. Kita juga telah mengenalpasti beberapa polisi yang telah berjaya mencapai tujuannya pada era sebelum ini, namun kini mungkin menjadi penghalang kepada kejayaan, merencat pasaran dan meletakkan kita dalam kedudukan yang kurang berdaya saing. Sebagai contoh, kerajaan sedang berunding untuk mengubah struktur polisi fiskal yang akan menaksir semula sistem subsidi yang wujud di Malaysia dan meluaskan punca kutipan hasil melalui cadangan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan. Langkah ini akan membawa Malaysia sejajar dengan keadaan norma antarabangsa dan mengurangkan kebergantungan terhadap industri, perniagaan dan pembayar cukai. Ini adalah penting untuk membolehkan kita terus maju ke hadapan bersama sebagai satu negara, di samping meningkat dan mengukuh program jaringan keselamatan untuk menyokong kebajikan rakyat Malaysia yang mudah terjejas.

15. Secara keseluruhan, kekurangan ini menjelaskan keadaan pelaburan swasta Malaysia yang masih belum pulih ke paras sebelum krisis kewangan Asia. Dan sebagaimana yang anda tahu, ini boleh memberi ancaman pada usaha kita untuk menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan asing dan tempatan.

16. Menangani isu-isu ini bukan sahaja perlu mempunyai visi yang jelas dan polisi yang betul tetapi ia juga memerlukan iltizam politik yang jitu, pelaksanaan yang efektif dan sokongan rakyat yang sepadu. Adakah kita mempunyai semangat dan keberanian untuk keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana? Saya percaya kita perlu mencapai persetujuan bersama mengenai isu ini. Memandangkan pertumbuhan ekonomi semakin pulih, sesetengah pihak mempersoalkan keperluan untuk segera mengubah tabiat lama. Kini, terdapat seruan untuk melindungi status sedia ada. Kita jangan mudah terpedaya. Kita memerlukan cara baru untuk bertindak. Dengan pemulihan ekonomi, kita mesti bertindak segera untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia di masa hadapan. Dan ini merupakan pilihan yang perlu kita hadapi. Untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana iaitu satu kedudukan yang merbahaya kepada mana-mana negara dalam ekonomi global baru; atau untuk terus kekal dengan apa yang kita tahu dan kita selesa serta terus berharap agar dunia beradaptasi dengan kita. Pilihan kita dan tugasan Kerajaan adalah untuk terus menerajui polisi-polisi ekonomi yang berjaya dalam industri berpengetahuan masa hadapan, dengan pekerjaan bergaji tinggi dan kemakmuran yang boleh dikongsi bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan,

LAPORAN NEAC

17. Pada hari ini, kita akan mengambil satu langkah penting dalam perjalanan tersebut. Teras utama agenda polisi jangka-panjang merupakan model ekonomi baru - yang akan disepadukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dengan visi jangka masa yang lebih panjang yang akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Ke-11. Ini akan mengubah ekonomi Malaysia menjadi satu ekonomi yang berpendapatan tinggi dan mempunyai pertumbuhan berkualiti dalam abad yang mendatang.

18. Model Ekonomi Baru (MEB) merupakan tunjang penting kepada Malaysia yang sedang dibentuk, struktur yang akan berkhidmat kepada masyarakat kita pada masa akan datang. Sebagai metafora, fikirkan sebuah rumah yang disinari mentari Malaysia. Kita memerlukan bumbung – falsafah yang merangkumi kesemua bahagian binaan ini. Dalam situasi ini, 1Malaysia merupakan bumbung tempat kita sama berteduh. Program Transformasi Kerajaan (GTP) – satu program penyampaian dalam enam Bidang Keberhasilan Utama – merupakan satu tiang asas kepada rumah ini. Tiang asas kedua ialah Pelan Transformasi Ekonomi yang akan membangunkan MEB. Dan lantainya, asas di mana kesemua rakyat Malaysia terus bergerak ke hadapan adalah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11.

19. Selepas beberapa bulan saya menjadi Perdana Menteri, saya telah menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang merupakan satu badan bebas yang ditugaskan untuk mengkaji ekonomi negara secara terperinci. Saya meminta majlis ini memberikan cadangan berani tetapi praktikal untuk melaksanakan model ekonomi baru bagi mengubah ekonomi Malaysia. Dan saya dengan ini mengumumkan bahawa saya telah menerima laporan NEAC ini.

20. Laporan ini secara telusnya menyatakan keadaan ekonomi masa kini, kekuatan dan kelemahan – serta menilai polisi semasa dan bidang berpotensi untuk dijadikan tumpuan pada masa akan datang bagi Malaysia. Ia merupakan analisis yang komprehensif dan berpandangan jauh. Saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada pengerusi NEAC, Senator Tan Sri Amirsham A Aziz, ahli jawatankuasa NEAC dan pasukan Sekretariat. Hasil kerja dan khidmat yang diberikan kepada negara bukan sahaja layak menerima pengiktirafan tetapi juga penghargaan kita.

21. Pada hari ini, saya dan anggota kabinet - bersama-sama ahli jawatankuasa NEAC – akan memulakan pertimbangan terperinci mengenai cara untuk kita maju ke hadapan, terutamanya dalam kita beralih dari laporan ini kepada pelan tindakan masa depan. Namun, ia bukan merupakan cara lama debat politik. MEB mempunyai implikasi yang meluas untuk semua rakyat Malaysia dan kita tidak mampu untuk mengabaikan pandangan mereka mengenai perkara ini. Seperti mana pelabur, Kerajaan juga menitikberatkan ketelusan yang tinggi. Sama ada dalam bajet mahupun GTP, di mana ribuan penduduk awam terlibat dalam proses ini, saya telah mengarahkan laporan ini diterbitkan dan mudah dicapai oleh masyarakat umum. Dengan ini kita dapat mengumpulkan input dan memberi peluang untuk mereka terlibat sama dalam proses membuat keputusan bagi bulan yang mendatang. Hanya melalui konsultasi bersama Rakyat dan semua pihak lain yang berkepentingan, maka kita akan mampu mencapai perancangan yang kukuh, meyakinkan dan efektif dalam melaksanakan MEB.

22. Saya telah menekankan dalam pelbagai majlis sebelum ini bahawa era ‘Kerajaan tahu segalanya’ telah berakhir. Rakyat – dan golongan-golongan seperti pemimpin perniagaan dan pelabur – ingin serta layak untuk melibatkan diri dalam proses pembuatan polisi. Kita perlu membangunkan pendekatan yang lebih konsultatif dalam melibatkan pihak berkepentingan paling utama. Hanya melalui proses tersebut, kita boleh meluaskan pandangan, mencabar pemikiran sedia ada dan membantu membina ketelusan dan keterbukaan semua ke arah yang betul. Inilah hala tuju yang akan kita ambil. Rakyat didahulukan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PRINSIP MEB

23. Seterusnya, saya ingin menetapkan tiga prinsip yang saya percaya akan menjadi penunjuk kepada pemikiran negara dan pembangunan MEB. Saya mahu - seperti mana yang digariskan oleh Tan Sri Amirsham – untuk kita semua membayangkan kesan MEB pada masa akan datang dan makna MEB terhadap diri kita dari segi individu dan perniagaan.

24. Tiga prinsip yang jelas terhasil daripada laporan NEAC - pertama, berpendapatan tinggi, kedua, kemapanan dan ketiga, keterangkuman (inclusive). Ketiga-tiga prinsip ini akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.

25. Kita perlu bertanya pada diri sendiri akan soalan asas ini: Adakah MEB ini menjana pekerjaan berpendapatan tinggi di mana Rakyat mendapat manfaat daripada ekonomi yang berdaya saing dan cara hidup yang lebih baik? Inilah intipati (raison d’ĂȘtre) bagi MEB. Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun seperti yang dinyatakan dalam Laporan NEAC. MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tapi ia menjanjikan pulangan yang lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini. Cabaran kita adalah bagaimana untuk melakukannya. Ini bermaksud, membangunkan sektor sedia ada dan memaksimumkan potensi sektor baru melalui inovasi.

26. Mewujudkan negara yang berpendapatan tinggi bermakna upah pekerja yang lebih tinggi bagi keseluruhan ekonomi disebabkan pertumbuhan bukan sahaja daripada modal, tetapi juga daripada produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual. Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, innovasi dan kreativiti, serta peningkatan kompetensi adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta. Kita mengharapkan pelaburan dan persaingan untuk bakat terbaik melalui pembayaran upah yang tinggi. Malah, pekerja kolar biru juga akan diberi upah berdasarkan peningkatan kompetensi yang mereka miliki, dengan prestasi mereka akan diukur berdasarkan tanda aras pesaing antarabangsa. Semakin banyak kemahiran, akan datang tanggungjawab yang lebih besar dan pekerjaan yang lebih baik serta berpendapatan tinggi.

27. Antara penemuan lain, laporan NEAC turut memberi penekanan bahawa sehingga hari ini seramai 80 peratus daripada populasi tenaga kerja mempunyai taraf pendidikan sehingga kelayakan SPM yang setaraf dengan O-levels. Perkara ini tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang kita aspirasikan. Kita perlu pendidikan yang berterusan, latihan kerja praktikal dan latihan semula kemahiran bagi memanfaatkan sepenuhnya teknologi baru. Dan dengan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di mana produktiviti dan daya saing memacu pertumbuhan, kos menjalankan perniagaan akan sentiasa berdaya saing berikutan penggunaan modal yang lebih efisien serta memberi penekanan terhadap pekerja yang berkualiti. Ini bermakna, pengurangan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing yang tidak berkemahiran, dan lebih penumpuan kepada pekerja pelbagai kemahiran yang boleh meningkatkan produktiviti. Perubahan ini juga memerlukan Kerajaan untuk turut meningkatkan kualiti dan produktiviti para pekerjanya. Saya percaya kita telah memulakan usaha melalui GTP, yang mana antaranya akan meningkatkan infrastruktur negara serta memperbaiki akses kepada pendidikan yang berkualiti.

28. Kedua, MEB mesti bertunjangkan komitmen terhadap penjanaan pertumbuhan yang mapan, bukan sahaja dari sudut prestasi ekonomi negara kita, bahkan perlu mengambilkira kesan pembangunan ekonomi ke atas persekitaran dan sumber asli yang tidak ternilai. Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang. Pilihan ini adalah tidak wajar dan amat sia-sia sekali. Kita boleh memiliki pendekatan ekonomi yang mantap dan dinamik, tetapi ianya mesti berupaya memelihara negara kita yang dicintai demi generasi akan datang. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan mapan hendaklah selari dengan pemuliharaan alam sekitar. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini semasa penubuhan NEAC, pencapaian berasaskan kekayaan semata-mata belum memadai dengan apa yang saya hasratkan. Bukan sahaja saya mahukan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, tetapi juga mereka turut menikmati kehidupan yang lebih sempurna. Meningkatkan kualiti hidup mestilah menjadi sebahagian daripada adunan MEB.

29. Akhir sekali, adakah MEB melibatkan keterangkuman? Kita perlu mengambil kira penggembelingan potensi keseluruhan rakyat Malaysia, dan sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara yang semakin berkembang.

30. Keterangkuman atau penyertaan menyeluruh merupakan pra-syarat utama bagi memupuk semangat kekitaan dan pemuafakatan di dalam MEB. Saya mengambil kesempatan ini, untuk menyentuh isu penyertaan menyeluruh MEB di mana tidak ada seorang pun yang terpinggir dalam menyumbang dan mengecapi hasil penjanaan kekayaan seiring dengan kemajuan negara. Walaupun dari segi realitinya, adalah mustahil untuk kita mencapai kesaksamaan yang sempurna dalam ekonomi global dan terbuka, masyarakat yang berteraskan penyertaan bersama mampu memastikan yang kita boleh mengurangkan jurang ketidaksamaan, mampu membantu mereka yang paling memerlukan, dan melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia yang berkebolehan dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.

31. Dalam mengubah pendekatan dengan mengambilkira cabaran-cabaran baru ini, ia memerlukan kita untuk mengubah pemikiran rakyat kita. Dalam jangka masa pendek, tentu akan ada tentangan yang hebat. Sebahagian sektor ekonomi mungkin terjejas. Proses pembaharuan tidaklah mudah dan tentunya akan mengalami kesukaran. Namun, bagi membina kekuatan jangka panjang negara, kita tidak boleh berterusan membelakangi isu ini. Jika kita benar-benar mahu menyelesaikan isu ketidaksamarataan dan menjadi contoh di rantau ini, kita perlu bertindak segera untuk melakukan perubahan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

TINDAKAN AFIRMATIF SEBAHAGIAN DARIPADA PENYERTAAN MENYELURUH

32. Dasar Ekonomi Baru dengan tindakan afirmatif telah berjaya dilaksanakan selama 40 tahun yang lalu, mengimbangkan strategi pertumbuhan ekonomi negara kita dengan keperluan menangani ketidaksamarataan struktur ekonomi dan memupuk keharmonian sosial. Kadar kemisikinan berjaya dikurangkan dengan ketara kepada 3.7 peratus pada masa ini. Kita seharusnya berbangga dengan pencapaian tersebut. Kejayaan ini menjadi contoh kepada negara-negara berbilang kaum lain yang ingin diikuti. Namun begitu, bilangan isirumah berpendapatan rendah masih lagi banyak di Malaysia. Kerajaan kini berhadapan dengan masalah abad ke-21 yang memerlukan pendekatan baru untuk menyelesaikannya.

33. Laporan NEAC menggariskan pendekatan untuk menangani kemiskinan dan juga memperbaharui polisi afirmatif dalam konteks ekonomi baru dan lebih berdaya saing. Ini akan menjadi sebahagian daripada proses konsultasi awam. Sungguhpun demikian, Kerajaan berpendapat ianya mempunyai kewajaran untuk pertimbangan dan saya ingin menggariskan parameter yang lebih menyeluruh.

34. Keutamaan kita adalah untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Kita tidak akan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan yang melibatkan penyertaan menyeluruh tanpa menangani masalah jurang pendapatan.

35. Justeru, adalah perlu kita memperbaharui polisi afirmatif terhadap MEB yang akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik. Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat - mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang seringkali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara. Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar yang berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar. Sehubungan ini, laporan NEAC mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia – dari segi individu dan wilayah. Merekalah merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.

36. Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara. Sementara terdapat di kalangan mereka masih bergelut dalam keadaan sukar dengan berpendapatan yang rendah, kita akan sentiasa memberikan sokongan khas untuk membantu mereka keluar daripada perangkap kemiskinan.

37. Sejak berdekad lamanya, DEB telah menjadi kayu pengukur pencapaian utama masyarakat kita, satu polisi yang saya sokong dan terima sepenuhnya. Objektif asalnya masih lagi relevan, namun, sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan mensasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya. Oleh itu, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip, ia perlu:

  • mesra pasaran;
  • berdasarkan merit;
  • telus; dan
  • berdasarkan keperluan.


38. Sebagai contoh, salah satu pertimbangan penting adalah mewujudkan proses tender yang kompetitif dan telus, dengan peraturan yang tetap dan jelas bagi seluruh komuniti Bumiputera yang terdiri daripada kedua-dua kaum Melayu dan pribumi lain. Ini merupakan pemantapan dasar kita bagi menghadapi keadaan ekonomi baru, di mana keterangkuman merupakan komponen penting di dalam MEB. Secara praktiknya, pendekatan ini bermakna sokongan kepada Bumiputera dipertingkatkan, di mana ia berdasarkan kepada keperluan dan bukannya bangsa. Golongan Bumiputera masih merupakan majoriti dalam kumpulan yang mudah terjejas, walaupun dalam pelbagai pendekatan, sementara pendekatan baru kita akan membantu mereka yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan rendah. Pendekatan ini sebahagian besarnya masih lagi akan memanfaatkan komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama, memberi manfaat kepada komuniti lain yang kurang bernasib baik.

39. Dalam menilai pencapaiannya, pengagihan yang adil hendaklah merangkumi keseluruhan spektrum pengukuran kekayaan seperti pemilikan ekuiti, aset kewangan dan bukan kewangan lain serta akses kepada peluang menjana kekayaan seperti konsesi jangka panjang dan kontrak. Malahan dari segi pengukuran pemilikan, ia perlu melangkauiaspekekuiti termasuk harta benda lain, aset perniagaan seperti peruncitan, harta tanah, bangunan komersial, harta intelek dan perkhidmatan lain serta perjawatan dalam pengurusan. Satu contoh yang baik ialah pembangunan semula Kampung Baru, yang merupakan peluang penjanaan kekayaan secara holistik yang mendalam dan melangkaui pemilikan ekuiti. Saya telah mengarahkan NEAC untuk menyediakan satu rangka kerja yang terperinci untuk melaksanakan model afirmatif baru yang berdasarkan mekanisme yang telus dan berasaskan pasaran untuk mencapai pengagihan yang saksama, manfaat daripada ekonomi berpendapatan tinggi.

40. Laporan NEAC menggariskan pandangan bahawa mekanisme sebelum ini yang menumpukan pada penetapan sasaran, kini perlu memberi fokus kepada pelaburan binaupaya yang berdedikasi dan berstruktur di mana ia membolehkan Bumiputera meraih manfaat daripada peluang-peluang baru dalam ekonomi. Selanjutnya, akses dan peluang latihan yang lebih saksama bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan untuk mendapat pekerjaan akan diberi keutamaan kepada semua rakyat Malaysia.

41. Pendekatan ini dibina berasaskan pengalaman kita dalam melaksanakan tindakan afirmatif selama ini. Apabila dasar ini dilaksanakan dengan telus, adil dan dengan kaedah yang lebih berwibawa, ia akan menjurus kepada pencapaian yang lebih baik. Akan tetapi, setelah sekian lama, pelaksanaan tindakan afirmatif tidak menepati golongan sasaran yang amat memerlukan. Terdapat persepsi yang menggambarkan bahawa bukan Bumiputera tidak mendapat manfaat daripadanya sehingga kini, walaupun fakta dan data menunjukkan sebaliknya. Justeru, kita perlu menukar persepsi ini dengan prinsip baru tindakan afirmatif yang telah dinyatakan sebelum ini. Kita tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti rent-seeking dan patronage, yang telah sekian lama menjejaskan matlamat murni DEB. Penyertaan menyeluruh diperlukan, di mana semua rakyat Malaysia dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi - perlu menjadi teras utama bagi sebarang pendekatan ekonomi baru.

42. Ini adalah prinsip yang ingin saya lihat sebagai panduan dalam fasa konsultasi seterusnya. Bolehkah kita membina model baru yang berlandaskan ekonomi berpendapatan tinggi, mapan dan penyertaan menyeluruh di mana kita semua dapat menikmati kemakmuran? Saya percaya kita semakin menghampiri sasarannya. Saya percaya terdapat sokongan padu yang menyeluruh daripada rakyat Malaysia. Dan saya juga percaya – dengan kepintaran dan kreativiti rakyat Malaysia dan golongan peniaga dan usahawan Malaysia – kita boleh dan akan merealisasikan aspirasi ekonomi nasional tersebut.

Tuan-tuan dan puan-puan,

DARIPADA PRINSIP KEPADA SEBUAH PELAN

43. Persoalannya adalah bagaimana kita dapat menuju ke sana? Usaha Kerajaan dan NEAC masih belum selesai dengan pembentangan laporan awal ini. Pendekatan ini mempunyai dua peringkat. Kini, kita perlu memastikan konsultasi yang menyeluruh dan mantap dan kemudiannya, membangunkan rangka kerja (blueprint) atau pelan halatuju pelaksanaan MEB yang terperinci serta perubahan ekonomi yang akan dilaksanakan. Umpamanya, kumpulan kerja seperti lab yang menerajui pembangunan GTP di bawah NKRA akan diadakan, yang disertai oleh sektor awam dan swasta bagi memacu strategi MEB, yang akan membawa kepada laporan kedua pelan hala tuju yang lebih terperinci. Malah, kita akan membangunkan Program Transformasi Ekonomi bagi melaksanakan MEB ini.

44. Bagi merealisasikan transformasi ini, NEAC telah menggariskan beberapa inisiatif pembaharuan yang strategik.

45. Lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik akan bertumpu kepada:

  • 1) Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
  • 2) Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
  • 3) Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
  • 4) Memperkukuhkan sektor awam;
  • 5) Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
  • 6) Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
  • 7) Meningkatkan sumber pertumbuhan ; dan
  • 8) Memastikan pertumbuhan yang mapan.


46. Kesemua lapan inisiatif ini adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi. Ketiga-tiga matlamat MEB memerlukan kita mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi untuk dekad yang seterusnya. Oleh yang demikian, dasar-dasar yang perlu kita laksanakan mesti menyentuh isu-isu asas, bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dipercepatkan melalui pendekatan yang holistik untuk menghapuskan semua halangan. Matlamat ini memberi penekanan kepada binaupaya dan bukanlah hanya pembangunan negara semata-mata, sebagai langkah mencapai pembangunan mapan.

47. Sebagai tambahan kepada laporan NEAC, suka saya mencadangkan supaya usaha ditumpukan secara efektif ke atas sektor utama yang spesifik, atau yang dikenali sebagai Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEAs). Ini adalah bidang di mana ekonomi negara mempunyai potensi untuk terus maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pada masa lalu, Kerajaan lebih memainkan peranan paternalistic dalam mencadang dan mempromosi sumber pertumbuhan baru yang sepatutnya diterajui oleh sektor swasta. Sememangnya kita perlu memberi panduan, tetapi kita berpendapat pihak Kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan pelaburan untuk sektor swasta.

48. Berdasarkan pendekatan baru NEAC yang menyatakan bahawa sektor swasta perlu memacu pertumbuhan, Kerajaan mestilah meningkatkan peranannya sebagai fasilitator kepada pihak industri untuk berkembang maju. Majoriti inisiatif yang telah diwujudkan adalah berkaitan dengan semua faktor yang penting dalam memperbaiki hala tuju ekonomi - untuk menghapuskan pengherotan pasaran dan halangan yang menggugat ekonomi kita daripada terus bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi serta menggalakkan persaingan sihat. Pelaksanaan dasar ini merupakan pra-syarat untuk kita memanfaatkan sumber pertumbuhan baru. Selagi halangan-halangan ini wujud, peluang pembangunan dalam semua sektor tidak akan tercapai.

49. NEAC dengan mengambil kira input daripada sektor swasta telah mengenal pasti sektor utama yang boleh menjadi peneraju dalam menjana pertumbuhan tinggi - sektor yang mana negara kita mempunyai daya saing dan berkemahiran tinggi, mempunyai peluang untuk menggunakan pengkhususan dan yang telah memperoleh kelebihan sebagai pelopor (first mover advantage) serta kelebihan berbanding tradisional (traditional comparative advantages). Banyak lagi yang perlu kita lakukan, namun bagi meraih peluang yang ada sepenuhnya, kita perlu memberi fokus ke atas sektor-sektor utama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

50. Selaras dengan proses GTP dan NKRAs, saya komited untuk mengadakan proses konsultasi yang menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, dan memastikan NKEAs akan dipilih berdasarkan kriteria kepentingan negara. NEAC akan bekerja bersama-sama dengan PEMANDU bagi membangunkan NKEAs. Mereka akan mengadakan konsultasi dengan rakyat dan semua pihak berkepentingan lain. Apabila RMKe-10 diumumkan bersama dengan NKEAs, sebuah Unit Penyampaian Ekonomi khas akan ditubuhkan untuk menerajui proses perubahan serta memuktamad dan melaksanakan NKEAs tersebut. Masih terdapat banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengenal pasti strategi kejayaan yang perlu dilaksanakan di samping NKEAs yang perlu diberikan fokus. Namun, sebagai penunjuk awal, sukacita saya memberikan beberapa contoh mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh kita jangkakan:

51. Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), Malaysia boleh memanfaatkan sepenuhnya kelebihan sebagai peneraju awal. Berbekalkan asas yang kukuh, masa hadapan Malaysia dalam sektor ini perlu ditekankan bukan sahaja dalam pembuatan tetapi dalam penyelidikan, pembangunan serta rekaan, di mana syarikat Malaysia memacu inovasi dan bukan hanya mengimportnya. Antara langkah yang perlu dipertimbangkan adalah pemberian insentif bagi aktiviti penyelidikan yang bernilai tinggi dan menyokong PKS yang menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat besar dalam skala yang besar.

52. Industri berasaskan sumber dalam sektor minyak sawit serta minyak dan gas akan terus diberi penekanan. Dalam sektor minyak sawit, inisiatif bagi pengukuhan penyelidikan akan memacu teknologi tempatan yang dapat memenuhi permintaan pasaran, seperti minyak dan lemak yang sihat, biofuel daripada biomas, kosmetik dan plastik biodegradable.

53. Dalam sektor minyak dan gas, kita mempunyai juara seperti Petronas. Ia telah membina sebuah jenama yang sangat kukuh di peringkat antarabangsa dan saya percaya, kini ia perlu membantu untuk memacu pertumbuhan negara dengan memberi sokongan yang lebih lagi kepada pembekal tempatan. Walau bagaimanapun, melangkaui sektor teras minyak dan gas, kepakaran tenaga Malaysia di peringkat antarabangsa mampu membantu syarikat-syarikat untuk berkembang di peringkat antarabangsa dengan berkongsi pengetahuan, bekerjasama dalam pembidaan antarabangsa dan memberi sokongan pada skala global. Dengan mempunyai bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta syarikat yang mampu bersaing di peringkat global akan memberi Malaysia satu kelebihan yang nyata.

54. Dalam sektor perkhidmatan, potensi sektor pelancongan masih belum dieksploitasi sepenuhnya. Masih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menarik pasaran baru dari Eropah dan Amerika untuk melengkapkan pasaran dari United Kingdom dan Asia. Kita mempunyai antara hutan yang tertua di dunia yang kaya dengan flora dan fauna serta kawasan menyelam dasar laut yang amat menarik. Malaysia mampu menerajui dalam menyediakan pengembaraan ekopelancongan yang lestari, mempunyai permintaan yang amat tinggi di kalangan negara maju. Kita perlu mensasarkan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang akan menarik high-end tourists, yang ingin mendapatkan perkhidmatan eksklusif dan bernilai tinggi. Kita juga perlu kreatif dalam menyediakan bidang baru dalam industri ini. Daripada pelancongan kesihatan, iaitu sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi, kepada ekopelancongan, pelancongan pasaran mewah serta pelawat yang berkaitan dengan pembangunan negara sebagai hab pendidikan serantau. Masa depan industri pelancongan Malaysia adalah cerah sekiranya kita mempunyai visi dan kreativiti bagi menyokong potensi pertumbuhannya yang luas dan pelbagai.

55. Sebagai sebuah negara yang turut mengeluarkan hasil pertanian serta bergantung kepada import makanan, terdapat keperluan strategik bagi memberi fokus kepada peluasan sektor pertanian yang bernilai tinggi. Masih terdapat potensi untuk mewujudkan nilai melalui pembangunan pertanian berskala besar, kaedah pengeluaran hasil yang tinggi, teknologi baru, rangkaian pemasaran yang lebih baik yang akan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan. Kita mesti menggalakkan perniagaan agro melalui amalan pertanian yang bersepadu dan moden. Memandangkan masyarakat bumiputera di kawasan luar adalah besar di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, peningkatan aktiviti pertanian moden secara intensif akan menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi dan mengurangkan jurang pendapatan. Seterusnya, untuk bersaing di peringkat global, kita perlu memastikan sektor pertanian Malaysia, daripada peringkat penanaman sehinggalah pemprosesan, mematuhi atau melepasi standard dan amalan terbaik antarabangsa, serta memasarkan produk pada skala antarabangsa.

56. Malaysia juga berpotensi untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi hijau dan membangunkan niche dalam industri dan perkhidmatan hijau bernilai tinggi. Kita mempunyai kepakaran dalam bidang pembuatan kompleks, dan merupakan peneraju dalam sektor solar dan tenaga alternatif serantau. Dengan kejayaan terkini dalam pengkomersialan produk bio-diversity, yang semakin mendapat tempat di kalangan pengguna yang peka dengan alam sekitar, Malaysia mampu menjadi hab hijau yang menyeluruh dalam bidang perniagaan – merangkumi aktiviti penyelidikan, rekaan, pembuatan dan pengkomersialan, kita mempunyai kemahiran dan sokongan sektor awam.

57. Terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai untuk meluaskan punca pertumbuhan. Ingin saya memberi contoh yang lain - industri perkhidmatan kewangan, yang merupakan sektor pertumbuhan serta pemudah cara kepada pertumbuhan sektor-sektor lain. Potensi pembangunannya boleh dilihat dalam perkhidmatan kewangan Islam, serta dalam derivatif pengurusan risiko oleh peserta tempatan dan serantau. Kini, Malaysia merupakan peneraju perbankan dan pasaran modal Islam serta industri takaful di dunia. Kita juga berpotensi untuk menjadi hab perkhidmatan kewangan Islam yang bersepadu. Umpamanya, Bank Negara Malaysia kini dalam proses memuktamadkan penubuhan pusat kewangan Islam dan kelulusan dua lesen bank Islam mega.

58. Persaingan kini bukan lagi di antara negara tetapi juga bandaraya. Bagi Malaysia melonjak ke arah sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita mesti meraih pulangan lumayan dengan pelaksanaan strategi untuk membina densiti, pembangunan kluster dan pengkhususan dalam sektor bernilai tinggi. Menyedari peranan ini, bandaraya seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru perlu dibangunkan supaya lebih sesuai didiami dan mampu menarik bakat serta menjadi sebahagian daripada perancangan bandar-luar bandar yang lebih komprehensif dan bersepadu. Kita mesti membangunkan kluster yang lebih kukuh dan berperanan sebagai inkubator untuk syarikat baru, memastikan perkongsian perkhidmatan dan membangunkan lebih banyak perniagaan serta jalinan universiti. Bukti menunjukkan, pembangunan bandaraya membantu meningkatkan pendapatan penduduk kawasan sekitar luar bandar, terutamanya apabila mereka diintegrasikan ke dalam jaringan rantaian penawaran.

59. Terdapat banyak lagi sektor pertumbuhan strategik, di mana Malaysia berpotensi untuk berkembang. Kita mempunyai kekuatan di dalam industri IT. Industri kreatif – kepakaran kita dalam muzik, filem, kesenian dan budaya – boleh menjadi sektor yang penting untuk Malaysia pada masa hadapan. Dengan asas yang kukuh dalam kepakaran di bidang perubatan, saintifik dan pembuatan, kita boleh menjadi pusat serantau untuk sektor bioteknologi dan sains hayat yang berkembang pesat.

60. Oleh yang demikian, saya menyeru agar syarikat, pelabur dan usahawan Malaysia untuk merebut peluang yang ada serta menjadi juara serantau malah di peringkat global. Kita perlu mewujudkan polisi intervensi bersama untuk menjadikan ini satu realiti. Syarikat yang menunjukkan inovasi dan berpandangan jauh dalam membentuk dan mencergaskan semula aktiviti mereka akan mempunyai prospek cerah untuk menjadi peneraju dunia pada masa hadapan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

KERJASAMA AWAM-SWASTA

61. Sekiranya Malaysia ingin mencapai matlamatnya, kita harus membina hubungan strategik, kuat dan teguh serta dipacu pasaran berasaskan permintaan yang menghubungkan sektor pertumbuhan kepada MEB. Saya telah menyentuh beberapa strategi yang saya percaya kita perlu, termasuk pemodenan sistem pendidikan ke arah melahirkan tenaga kerja bertaraf dunia; pembaharuan fiskal berhemat yang membawa lebih banyak keseimbangan kepada rangka kerja hasil dan perbelanjaan; serta langkah mesra pasaran yang berkesan bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pendekatan baru ini.

62. Namun begitu, asas kepada semua strategi ini ialah kefahaman yang baru dan jelas mengenai peranan perniagaan dan Kerajaan. Pada masa yang sama, Kerajaan hanya bertindak sebagai pemangkin dalam mencapai kekayaan. Kita berperanan untuk memastikan kestabilan, keterbukaan dan kesaksamaan dalam persekitaran selamat yang menggalakkan, dan tidak menggugat atau menghalang pertumbuhan. Persaingan harus digalakkan bagi mewujudkan pasaran yang dinamik serta efisien dan sekiranya perlu, sokongan daripada sektor awam akan diberikan. Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita telah melihat dengan jelas keperluan, di mana Kerajaan harus berwaspada di dalam menjamin kestabilan ekonomi apabila berlaku kegagalan pasaran.

63. Saya mendapati di dalam dewan ini beberapa bakat sektor swasta adalah antara yang terbaik di dunia. Anda adalah peneraju kepada penciptaan kekayaan dan pertumbuhan. Kita akan melindungi kepentingan ekonomi dan seluruh rakyat Malaysia secara aktif, tetapi kita juga mahukan kepakaran dan pelaburan daripada sektor swasta untuk terus berkembang. Sekali lagi, untuk berjaya dalam konteks ekonomi yang berbeza, kita perlu melihat untuk melaksanakan sesuatu dengan cara berlainan.

64. Satu daripada perubahan ini ialah dengan menggunakan pendekatan baru yang meluaskan peranan pasaran modal di bawah MEB. Malaysia tidak akan berjaya, meskipun dalam sektor utama kita, sekiranya kita kekal di takuk lama. Pencetus pertumbuhan membawa maksud memupuk inovasi, berani mengambil risiko dan kreatif dalam pembangunan produk atau perkhidmatan baru.

65. Sehubungan itu, bagi memudahkan pelaksanaan MEB, menyokong inovasi sektor swasta dan merangsang pembiayaan dalam perkhidmatan yang berisiko tinggi serta sektor berasaskan pengetahuan yang penting untuk masa depan Malaysia, saya ingin melihat peluasan peranan pasaran modal, berkembang daripada model pemerolehan dana kepada model berasaskan kecairan dan kepelbagaian risiko bagi menggalakkan usahawan dan pelabur untuk menjadi sebahagian daripada masa hadapan ekonomi Malaysia yang cerah.

66. Pembangunan dalam pasaran modal akan terus diperkukuh di dalam Pelan Induk Pasaran Modal Kedua yang pada masa ini sedang dirangka oleh Suruhanjaya Sekuriti. Saya juga melihat kerancakan industri pasaran modal seperti sektor pengurusan dana, modal teroka dan ekuiti swasta sebagai penentu penting dalam usaha kita untuk mencapai ekonomi berpendapatan dan berkemahiran tinggi bagi masa hadapan.

67. Sehubungan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada masa ini menguasai pasaran ekuiti dan bon tempatan sehingga 50 peratus daripada volum harian Bursa yang diwakili oleh perdagangan berkaitan KWSP, yang mana situasi ini tidak sihat untuk pasaran mahupun KWSP. Pada hari ini, saya mengumumkan bahawa KWSP dibenarkan untuk melabur lebih banyak aset di luar negara, dan ini membolehkan KWSP mempelbagaikan portfolio dan memberikan lebih banyak ruang domestik untuk penyertaan baru. Pada masa ini, KWSP mempunyai 6 peratus aset pelaburan luar pesisir pantai dan jumlah ini akan meningkat secara ketara. KWSP juga akan meningkatkan pelaburan langsung di dalam ekonomi benar Malaysia, sebagai alternatif kepada pasaran pelaburan seperti penglibatan dalam sektor penjagaan kesihatan, komoditi, harta tanah dan pelaburan jangka masa panjang yang lain dengan memenuhi keperluan KWSP untuk melindungi nilai pulangan benar ke atas asetnya.

68. Dari segi institusi, Lembaga Kemajuan Industri Malaysia (MIDA) merupakan agensi utama Kerajaan yang bertanggungjawab untuk mempromosi serta memudahkan pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. MIDA memainkan peranan penting di dalam transformasi negara di bawah pelbagai fasa pembangunan industri sepanjang tempoh empat dekad yang lalu. MIDA juga telah muncul sebagai institusi yang diiktiraf di kalangan pelabur asing dan domestik. Walau bagaimanapun, masanya telah tiba untuk membuat perubahan drastik bagi menjadikan MIDA sebuah agensi promosi pelaburan yang lebih efektif.

69. Saya dengan ini mengumumkan bahawa MIDA akan dikorporatkan untuk memberikannya lebih fleksibiliti untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja serta bakat yang diperlukan untuk menjadi sebuah agensi promosi pelaburan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga telah bersetuju untuk memperkasa MIDA dengan kuasa yang diperlukan untuk berunding secara terus dengan pelabur untuk projek yang disasarkan. Selain itu, MIDA akan dilantik sebagai agensi pusat promosi pelaburan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan, kecuali perkhidmatan utiliti dan kewangan, bagi meningkatkan koordinasi dan kepaduan antara pelbagai badan promosi pelaburan di negara ini. Perubahan ini akan membolehkan MIDA untuk meluluskan insentif secara real time dan bertindak dengan lebih pantas untuk menjalin hubungan yang lebih efektif dengan pelabur. Oleh itu, MIDA akan dinamakan sebagai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dengan mengekalkan akronim, MIDA, yang merupakan satu jenama yang telah terkenal.

70. Sebagai tambahan kepada pembaharuan penting institusi, saya percaya, kita juga hendaklah memastikan keseimbangan yang wajar antara Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) dan sektor swasta di dalam ekonomi sebagai sebahagian daripada MEB. Sebelum krisis kewangan Asia, sumbangan sektor swasta kepada KDNK jelas mengatasi sumbangan sektor awam. Sebaliknya, dalam dekad pertama alaf baru ini, keadaan ini telah berubah. Suntikan fiskal yang bermula sebagai kitaran keperluan telah menjadi satu pergantungan dan mewujudkan keadaan yang tidak mapan.

71. Saya telah menyentuh beberapa prinsip utama yang akan menjadi asas kepada penentukuran (recalibration) hubungan sektor awam-swasta; transformasi Kerajaan untuk mengurangkan birokrasi dan memfokus kepada penciptaan persekitaran penggerak pertumbuhan; galakan dan insentif untuk merangsang inovasi dan produktiviti sektor swasta; fokus terhadap sektor berasaskan pengetahuan strategik untuk pertumbuhan jangka panjang; dan juga pengiktirafan terhadap kepentingan untuk merebut peluang di peringkat pasaran serantau dan global yang akan membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

72. Dalam majlis yang sama tahun lalu, saya telah menggariskan strategi untuk melihat GLCs bagi melepaskan pegangan aset bukan teras; memangkin dan membangunkan ekosistem sektor teras mereka; dan bersaing secara adil dengan sektor swasta. Mengenai prinsip ketiga, saya telah mengumumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan dibenarkan untuk melepaskan pegangan aset bukan teras dan/atau aset yang tidak kompetitif.

73. Hari ini saya ingin mengumumkan beberapa langkah lanjut yang dapat meningkatkan peluang sektor swasta di samping mengeratkan perhubungan di antara sektor awam dan swasta.

74. Melangkah ke hadapan, saya ingin melihat GLCs dan agensi milik Kerajaan menjalin kerjasama strategik dengan sumber modal swasta di Malaysia dalam membantu bakal pelabur supaya lebih maklum mengenai order book Kerajaan dan membina kompetensi nasional. Kerjasama ini adalah penting, bukan sahaja ke arah meningkatkan strategi peluasan serantau (regionalisation) syarikat-syarikat Malaysia mengambil kira saiz pasaran domestik, malahan untuk memastikan sumber modal tersedia dan boleh digunakan dengan segera. Di samping itu, peluang untuk mewujudkan usaha sama dengan pelabur dari pelbagai bidang termasuklah pelabur runcit, dan dana mutual tempatan dan luar negara kekal terbuka. Sekiranya ini berjaya dilaksanakan dalam skala yang besar, kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada satu bentuk kerjasama awam-swasta yang unik. Kita sudah mempunyai beberapa inisiatif menuju ke arah ini. Contohnya termasuk penswastaan Astro dan kerjasama di antara Malakoff dan Tenaga Nasional di dalam projek utiliti di Arab Saudi.

75. Kita sudah menunjukkan perkembangan di dalam bidang pelupusan aset bukan teras dan dalam masa sembilan bulan yang lepas, Khazanah telah melepaskan pegangan yang ketara dalam Tenaga Nasional, Malaysia Airports dan PLUS dengan tujuan untuk meningkatkan kecairan saham ini. Namun demikian, lebih banyak perkembangan di sektor ini perlu dilakukan.

76. Kita akan melupuskan aset bukan teras dan aset tidak kompetitif dalam bidang di mana pemegang saham strategik yang baru mempunyai potensi untuk meningkatkan pewujudan nilai, berbanding sekiranya mereka terus berada di dalam pegangan Kerajaan. Sudah tentu, kita perlu memastikan pelupusan ini melepasi penilaian yang ketat demi kepentingan awam.

77. Proses telus akan dilaksanakan bagi memastikan pembida yang berpotensi daripada sektor swasta memenuhi kriteria minimum, termasuklah dari segi kedudukan kewangan, rekod di dalam pengembangan perniagaan dan kecemerlangan pengurusan, serta tawaran mereka untuk membantu pembangunan Bumiputera dan menjayakan gagasan 1Malaysia. Pembida hendaklah menunjukkan penyampaian yang melebihi tanda aras inovasi dan penciptaan nilai, serta menyokong matlamat MEB iaitu berpendapatan tinggi, keterangkuman dan kemampanan. Bagi membangunkan proses ini, saya mencadangkan satu panel penilai yang terdiri daripada ahli kewangan profesional, pakar industri antarabangsa dan pegawai kanan Kerajaan dilantik untuk menilai bidaan sektor swasta bagi aset-aset GLCs.

78. Memandangkan betapa pentingnya prestasi sektor awam dan swasta perlu ditingkatkan, kita perlulah berwaspada bagi memastikan pindahan aset GLCs kepada sektor swasta tidak mengabaikan matlamat pembaharuan dan penyampaian sektor awam atau pelupusan aset yang menjejaskan kepentingan awam. Dalam masa yang tertentu, ini termasuklah mengekalkan pengurusan utama dan mengelakkan pemberhentian pekerja secara tanpa rela. Pada masa yang sama, saya sedar akan kepentingan untuk mengkaji semula tarif dan insentif sedia ada yang disediakan kepada GLCs jika kita ingin menarik pelaburan swasta dan, untuk itu, saya mencadangkan sebarang kajian semula berkaitan hal ini dibawa ke Kabinet.

79. Dengan garis panduan dan prinsip strategik yang jelas, saya yakin momentum perjalanan transformasi GLCs akan dapat terus dikekalkan, dan saya mengumumkan bahawa Khazanah telah memutuskan untuk melupuskan 32 peratus pegangan dalam Pos Malaysia melalui dua peringkat proses pelupusan strategik. Di peringkat pertama yang bermula serta-merta, kaedah urus tadbir korporat dan kawal seliaan yang sesuai akan dipatuhi. Perbincangan menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan akan dilaksanakan. Pos Malaysia akan membuat persediaan untuk pelupusan strategik dengan mengambil kira pelbagai aspek persekitaran perniagaannya termasuk struktur kawal seliaan, penggunaan tanah Kerajaan dan kedudukan serta kebajikan pekerja. Isu berlanjutan mengenai pendapatan rendah sebilangan staf termasuk posmen juga akan dikaji semula. Bagi memastikan kepentingan kedua-dua sektor awam dan komersial adalah seimbang, Kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci dan mengemaskini rangka kawal selia sistem pos. Di peringkat kedua, Khazanah akan menggariskan proses bidaan dan penilaian untuk memilih pemegang saham baru dengan tahap keusahawanan yang tinggi bagi memodenkan Pos Malaysia. Maklumat lanjut berkaitan hal ini akan diumumkan.

80. Bagi mempromosikan pelaburan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, beberapa lot tanah di Jalan Stonor, Jalan Ampang, Jalan Lidcol, Kuala Lumpur, telah dikenal pasti untuk ditender dan dibangunkan oleh sektor swasta. Aset ini, jika tidak dibangunkan, adalah satu pembaziran dan meningkatkan kos penyelenggaraan kepada Kerajaan. Inisiatif ini akan menjadi permulaan yang baik untuk lebih banyak penjualan dan usahasama antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan harta tanah. Dalam hal ini, sukacita saya maklumkan Kerajaan dan KWSP akan membentuk satu kerjasama bagi membangunkan 3,000 ekar tanah di Sungai Buloh sebagai hab baru bagi Lembah Klang. Ini akan membawa kepada pelaburan baru yang melebihi RM5 bilion yang akan memberikan kesan segera kepada pertumbuhan ekonomi domestik, dengan potensi yang besar kepada sektor swasta untuk turut sama terlibat dengan lebih aktif.

81. Saya juga ingin berkongsi dengan anda sekarang, bahawa Kerajaan secara beransur-ansur akan mengurangkan peranannya dalam aktiviti-aktiviti persaingan secara langsung dengan sektor swasta. Kita telah menyemak semula beberapa buah syarikat di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan dan agensi-agensi lain, dan saya ingin memaklumkan, kita sedang mempertimbangkan langkah-langkah penswastaan untuk Percetakan Nasional Malaysia Berhad, CTRM Aero Composites Sdn Bhd, Nine Bio Sdn Bhd dan Innobio Sdn Bhd serta beberapa lagi syarikat dalam pertimbangan.

82. Selain itu, Petronas telah pun mengenal pasti dua subsidiari yang mempunyai prestasi baik akan disenaraikan pada tahun ini. Matlamat inisiatif ini adalah untuk mengurangkan penglibatan Kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti perniagaan yang akan menjadi lebih cekap sekiranya dijalankan oleh sektor swasta dan memberi isyarat jelas komitmen menggalakkan persaingan dalam ekonomi, mengambil risiko dan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua warga Malaysia.

83. Seperti yang saya tegaskan tadi, kita tidak mampu untuk berpatah balik kepada cara lama. Cabaran yang kita hadapi sekarang memerlukan kita untuk menilai semula dengan segera cara kita melakukan sesuatu. Institusi, pendekatan dan sistem yang telah berjaya sebelum ini mungkin perlu diubahsuai mengikut perubahan landskap global.

84. Pengumuman yang dibuat pada hari ini, mengenai pelupusan baru, usaha sama sektor awam dan swasta, serta pembaharuan mengenai proses Kerajaan untuk menjana pertumbuhan – mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperbaharui dan menempatkan negara kita, guna tenaga kita, syarikat kita dan generasi masa depan untuk berdepan cabaran ekonomi global yang kompetitif.

Tuan-tuan dan puan-puan,

PENUTUP

85. Pada hari-hari pertama sebagai Perdana Menteri, saya mengatakan bahawa Malaysia mesti bersedia untuk berubah. Kita tiada pilihan, selain daripada bergerak ke hadapan dan menjadi negara berpendapatan tinggi dengan pertumbuhan yang mapan dan menyeluruh. Perubahan ini tentunya menyakitkan dan jalan pintas pastinya menarik. Namun, kita tidak boleh hanya mencari kemenangan mudah. Ia pasti perjalanan yang membawa kesukaran masa pendek, tetapi berbaloi dalam mewujudkan masa depan Malaysia yang lebih kukuh. Kita memerlukan ‘dorongan kuat’ yang mapan dan konsisten supaya perubahan besar hari ini menghasilkan arus momentum yang semakin kuat dan membantu mencapai matlamat kita.

86. Maka, ini adalah detik penentuan bagi Malaysia. Sedang kita pulih dari kemelesetan ekonomi, adakah kita akan mempunyai kekuatan dan wawasan untuk memburu agenda perubahan yang hebat lagi mencabar, tetapi amat perlu demi masa depan negara kita? Jawapan kita ialah dengan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, memberikan anak-anak kita peluang pendidikan yang terbaik, serta menarik pelaburan berkualiti tinggi, yang akan menjadi tema pendorong perhimpunan penting ini.

87. Di persimpangan yang genting ini, di mana kita mengimbangkan sejarah negara dengan masa hadapannya, saya percaya kita ada kekuatan untuk mencapai cita-cita Malaysia.

88. Namun begitu, ia adalah lebih besar daripada cita-cita ekonomi negara kita. Ini adalah tentang kehidupan yang lebih besar peluangnya untuk generasi masa hadapan. Ini adalah tentang membuka mata keluarga berpendapatan rendah untuk membantu mereka keluar dari kemelut kemiskinan. Ini adalah tentang lapisan masyarakat kita di mana setiap daripada kita mempunyai peluang dan tanggungjawab. Ia mengenai meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi berpendapatan tinggi supaya kita dapat berdiri sama tinggi dengan negara maju lain. Saya yakin – dengan sokongan anda – bahawasanya kita akan memilih jalan yang betul, bergerak ke hadapan dan bukannya mundur, dan membina Malaysia yang lebih saksama, kukuh dan dinamik untuk dekad yang mendatang. Saya menyeru anda berganding bahu dengan saya dalam perjalanan bersejarah ini untuk membina kemakmuran dan masa depan baru demi 1Malaysia

Teks Ucapan Pembentangan RMKe-10

2010/06/10
pix_gal0

UCAPAN PEMBENTANGAN RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH (RMKe-10)
OLEH PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB RAZAK PADA 10 JUN 2010


KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI DAN MAJU 
 
Tuan Yang di-Pertua,

Dengan sukacitanya saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:
“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar; merestui usaha Kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020; meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010;

Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”

RANCANGAN KEMAKMURAN EKONOMI DAN KEADILAN SOSIAL

PENDAHULUAN

Tuan Yang Di-Pertua,


3. Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari penuh bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) bagi tempoh 2011 hingga 2015. Rancangan ini adalah amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

4. Semenjak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan demi kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini, kita telah berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka.

5. Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang betul, pelbagai puncak berjaya ditawan, pelbagai pancang berjaya dicapai dan pelbagai tembok telah berjaya didaki. Hasilnya, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi yang mantap.

6. Kejayaan yang digarap ini bukan datang bergolek dalam angan-angan tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya ia hasil gigih kepimpinan Kerajaan berwawasan dengan sokongan padu rakyat semenjak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana faktanya kita hari ini membuat lonjakan di atas tapak yang telah mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan begitu besar. Secara sedar ataupun tidak, Dua Rancangan Malaya, Sembilan Rancangan Malaysia, Tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sedang dilalui sehingga kita ke pusingan pada hari ini.

7. Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun Abdul Razak Dato’ Hussein, Tun Hussein Dato’ Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya adalah wirawan nasional yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dek tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah kembali menemui pencipta, kita menadah kedua tangan memohon doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang sewajarnya di sisi Rabbul Jalil.

8. Tidak dapat dinafikan, rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita namun janganlah menjadikan alasan sejarah sebagai sempadan yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu berani berfikir di luar dari kotak pena’kulan yang lazim. Sehubungan dengan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh terperangkap dengan sindrom penjara sejarah supaya tidak menyebabkan berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan ingin dilaksanakan.

9. Bagi tempoh RMKe-9, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.2 peratus setahun dan pendapatan negara kasar per kapita akan mencecah 26,420 ringgit atau 8,260 dolar Amerika pada tahun 2010. Tambahan lagi, ianya dicapai dalam suasana kadar inflasi yang rendah manakala kadar pengangguran dijangka pada paras 3.6 peratus pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pula diunjur mengecil kepada 5.3 peratus pada tahun ini berbanding 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2009.

10. Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula telah berjaya mengurangkan kadarnya kepada 3.8 peratus tahun 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar juga telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.

11. Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008 dan 2009, Kerajaan telah memperkenalkan pula dua pakej rangsangan ekonomi bernilai 67 bilion ringgit. Dengan izin Allah SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1 peratus bagi suku pertama 2010. Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak 10 tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

12. Di persada global, perjalanan kita ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Russia, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.

13. Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dan pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi, bagi membolehkan anjakan ke tahap nilai ditambah dan produktiviti yang mantap.

Tuan Yang Di-Pertua,

RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH – MELANGKAH KE HADAPAN

14. RMKe-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan. Dalam rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada 38,850 ringgit, atau 12,140 dolar Amerika, pada tahun 2015. Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.

15. Cabaran besar Rancangan ini adalah untuk memangkin pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas, di mana ianya disasar berkembang 12.8 peratus atau 115 bilion ringgit setahun. Pada masa yang sama, Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015. Selain itu, Kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik, terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Tuan Yang Di-Pertua,

RMKe-10 – 10 Premis Utama

16. Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 memerlukan penekanan yang khusus dan menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama seperti berikut:

  • Pertama: Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.
  • Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.
  • Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.
  • Keempat: Menjayakan pertumbuhan diterajui oleh produktiviti dan inovasi.
  • Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.
  • Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.
  • Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu, pembangunan inklusif.
  • Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.
  • Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.
  • Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.


RMKe-10 – Lima Teras Strategik

17. Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMKe-10, lima teras strategik utama telah dikenalpasti ke arah mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan dalam rancangan ini. Lima teras tersebut adalah seperti berikut:

  • Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;
  • Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;
  • Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosio-ekonomi secara inklusif;
  • Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan
  • Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup;


Tuan Yang Di-Pertua,

Teras Strategik Pertama : Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA

18. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera Kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul sebagai negara berdaya saing di peringkat global, Kerajaan perlu berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit malahan Kerajaan telah mula mengambil langkah transformational, pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, Kerajaan akan berpegang kepada 4 tiang utama yakni formula empat campur empat.

19. Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada 4 Tiang Utama, terdiri daripada:

  • Pertama: Falsafah induk 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan;
  • Kedua: Program Transformasi Kerajaan atau GTP; Ketiga: Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang bersandarkan Model Baru Ekonomi dan
  • Keempat: Dua rancangan pembangunan lima tahun yakni Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh dan Rancangan Malaysia Ke-11. Empat tiang utama ini pula didokong oleh empat nilai asas pelengkap.
  • Pertama: Membudayakan Kreativiti dan Inovasi.
  • Kedua: Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan.
  • Ketiga: Nilai untuk wang atau “Value for money’’ dan
  • Keempat: Nilai Integriti.


Jika diibaratkan seumpama rumah, bumbungnya adalah falsafah induk 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang sedang kita bina adalah RMKe10 dan RMKe-11. Manakala ibaratnya lagi tangga menaiki rumah 1Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi.

20. Selanjutnya, langkah transformasi Kerajaan yang sedang dilaksana dimulakan dengan pelaksanaan enam bidang keutamaan  nasional atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, Kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diguna pakai.

21. Sehingga kini, Alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, bagi NKRA jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15 peratus pada suku tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5 peratus bagi tahun 2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini pada bulan April lalu. Bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya menghasilkan peningkatan kadar pengguna bas awam bandar kepada 13 peratus. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000 kanak-kanak telah menerima manfaat daripada 929 kelas prasekolah.

22. Inisiatif yang berterusan telah dikenal pasti oleh PEMUDAH dalam usaha meningkatkan kecekapan dan menambahbaik prosedur Kerajaan. Ini telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa bidang. Misalannya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada 3 hari berbanding 11 hari. Kini, pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari berbanding 30 hari sebelum ini. Bermula 11 Mei 2010 pula, terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa Malaysia dalam tempoh satu jam. TS1.1 Peralihan tumpuan kepada infrastruktur bukan fizikal

23. Mara ke depan, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMKe-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMKe-9. Tumpuan akan diberikan
kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka, ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.

24. Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, Kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta. Maksudnya, sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif. TS1.2 Menambah baik usaha pembangunan modal insan dalam sektor awam

25. Kita maklum bahawa, penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam perkhidmatan awam, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing-masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi mereka.

Tuan Yang DiPertua,

Teras Strategik Kedua : Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi TS2.1 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)

26. Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi, Lingkungan besar atau “Greater” Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ianya berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran terperinci NKEA bakal dimuktamadkan dengan Program Transformasi Ekonomi akan diumumkan pada bulan Oktober nanti. Berikut adalah NKEA yang telah dikenalpasti:
  • (i) Minyak dan gas;
  • (ii) Minyak sawit dan produk berkaitan;
  • (iii) Perkhidmatan kewangan;
  • (iv) Pemborongan dan peruncitan;
  • (v) Pelancongan;
  • (vi) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT);
  • (vii) Perkhidmatan Pendidikan;
  • (viii) Elektrik dan elektronik;
  • (ix) Perkhidmatan perniagaan;
  • (x) Penjagaan kesihatan swasta;
  • (xi) Pertanian; dan
  • (xii) Greater Kuala Lumpur.


Satu unit khas, iaitu Unit Transformasi Ekonomi, akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA.

27. Selain daripada itu, penyerapan penggunaan kaedah yang berasaskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam perancangan dan penyelarasan perlaksanaan NKEA. Pelantar teknologi seperti bioteknologi, nanoteknologi, dan kejuruteraan tinggi bakal melonjakkan impak pertumbuhan dari NKEA yang dikenal pasti.

28. Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam NKEA pula, antaranya seperti teknologi hijau, automotif, aeroangkasa dan logistik, usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu oleh kementerian, agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.

TS2.2 Mewujudkan Ekonomi Diterajui Sektor Swasta

29. Sememangnya, sasaran pertumbuhan enam peratus setahun bagi tempoh Rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah dikorporat dan dijenama semula. Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan. Perbadanan Produktivti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama ekonomi.

30. Adalah lazim, persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan dengan ini, Undang-undang Persaingan sedang diberi penelitian untuk menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran. Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan.

31. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah adalah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah, perdagangan dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuklah Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada seperti di benua Eropah dan Amerika Syarikat.

32. Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini, akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan, terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, negara mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015.

33. Hal tersebut tadi bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja, kita telah berjaya berada antara sepuluh negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Malaysia adalah satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, Kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk
meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang.

TS2.3 Perkongsian Awam-Swasta

34. Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisma penggerak agenda transformasi ekonomi. Fasa baru perkongsian awam-swasta (PPP) akan dilangsungkan dengan memastikan perkongsian risiko dan pulangan saksama yang berimpak besar.

35. Setakat ini, 52 projek berimpak tinggi telah dikenalpasti untuk dilaksanakan yang bernilai 63 bilion ringgit. Ini termasuk:

  • Pertama: Tujuh buah lebuhraya dengan anggaran kos sebanyak 19 bilion ringgit. Projek termasuk Lebuhraya Pantai Barat, Lebuhraya Guthrie - Damansara, Lebuhraya Sungai Juru dan Lebuhraya Paroi - Senawang- KLIA;
  • Kedua: Dua buah Projek Loji Jana Kuasa Elektrik Arang Batu dengan anggaran kos sebanyak 7 bilion ringgit; dan
  • Ketiga: Pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan anggaran kos sebanyak 10 bilion ringgit.


36. Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan Kerajaan (GLC). Ini termasuk projek-projek, seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Re-gasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh PETRONAS di Melaka dengan anggaran kos 3 bilion ringgit serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah 18 bilion ringgit.

37. Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini, dana berjumlah 20 bilion ringgit akan disediakan melalui Dana Mudahcara atau “Facilitation Fund“. Dana ini bertujuan membantu merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana ini, adalah dijangkakan Kerajaan dapat menarik pelaburan swasta berjumlah sekurang-kurangnya 200 bilion ringgit dalam tempoh Rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di bawah Dana ini termasuklah Penambakan Tanah di Westport, Pelabuhan Kelang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur, Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.

TS 2.4 Pertumbuhan Dipacu Inovasi

38. Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran, dengan sumbangan besar pelaburan, tenaga dan pekerja. Kita, kini perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu inovasi. Untuk maksud itu, Kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan
mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.

39. Satu langkah penting dalam Rancangan ini ialah menambahbaik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan Kerajaan kepada syarikat modal teroka awam, seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Malaysian Venture Capital (MAVCAP), disediakan melalui pinjaman jangka panjang. Dalam Rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disepadan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak 500 juta ringgit akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka Kerajaan. Bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersilan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi, Kerajaan akan menubuhkan Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak 150 juta ringgit. Matlamat Dana ini, bertujuan menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersil yang cukup bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain.

40. Kita sedar, ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan oleh risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan yang berjaya. Kita juga sedar banyak individu, perniagaan dan inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama, tetapi mampu berjaya kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.

TS2.5 Membina Infrastruktur Bertaraf Dunia

41. RMKe-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara, di samping memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri. Usaha ini akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.

42. Pembangunan rangkaian pengangkutan multimodal yang lebih luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam Fasa 2, yang akan disiapkan dalam tempoh Rancangan ini, dengan kos keseluruhan sebanyak 3.7 bilion ringgit. Lebuhraya tersebut juga akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan di pantai timur di samping meningkatkan jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highland dan dari Jerantut ke Sungai Lembing. Selain daripada itu, projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran sebanyak 8 bilion ringgit, akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Bahru di selatan. Projek lain pula melibatkan loji rawatan kumbahan (Sewerage Treatment Plant) yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kemudiannya akan diperluaskan ke seluruh negara.

TS2.6 Dasar Baru Tenaga

43. Dalam Rancangan ini, bekalan tenaga juga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat. Dasar Baru Tenaga telah mengenal pasti lima pendekatan yakni:
  • Pertama: merasionalkan harga tenaga mengambil kira faktor pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat;
  • Kedua: pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharu. Tenaga nuklear juga akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif;
  • Ketiga: meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri, komersil, kediaman dan pengangkutan;
  • Keempat: menambahbaik tadbir urus bagi menyokong peralihan kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan sosial kepada golongan berpendapatan rendah; dan
  • Kelima: memastikan Dasar Baru Tenaga dilaksana berdasarkan pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai.


TS2.7 Pembangunan Kluster

44. Pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster perbandaran berdensiti yang berteraskan industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.

45. Pendekatan pembangunan berasaskan kluster dalam koridor akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan kluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan mengenalpasti aktiviti dan pelabur utama, termasuk GLC dan syarikat swasta, untuk menerajui pembangunannya dalam pembangunan koridor berkenaan. Kemudiannya, pembangunan kelompok-kelompok ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka akan diintegrasikan supaya kawasan-kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi bandar-bandar besar ini akan mendapat manfaat secara langsung.

TS2.8 Membangunkan SME Sebagai Jentera Pertumbuhan dan Inovasi

46. Enterpris Kecil dan Sederhana (SME) memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME, termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk bekembang sehingga ke tahap global. Di samping itu, kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan membuka pasaran yang lebih luas, khususnya dalam sektor teknologi moden.

47. Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Modal Kerja berjumlah 7 bilion ringgit dan Skim Jaminan Pengstrukturan Semula Industri berjumlah 3 bilion ringgit. Hal ini telah saya umumkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua. Keseluruhan 7 bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Modal Kerja telah pun diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan, Kerajaan akan menambah tiga billion ringgit lagi, menjadikan jumlah semuanya
kepada 10 bilion ringgit.

48. Di sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik. Terdapat juga SME yang telah memperolehi pengiktirafan tempatan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu, SME tersebut akan diberi akses green lane atau keutamaan dalam proses bidaan perolehan Kerajaan mahupun syarikat berkaitan Kerajaan.

49. Di samping itu, Kerajaan juga memandang serius terhadap kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat lagi menceburi bidang SME. Sehubungan dengan ini, Kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang efektif kepada para usahawan SME kelaknya nanti. Selain itu, SME Corp pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu dengan sewajarnya.

Tuan Yang Di-Pertua,

Teras Strategik Ketiga : Pembangunan Sosio-Ekonomi Secara Inklusif

50. Keterangkuman atau inclusiveness merupakan pra-syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.

51. Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisme akan memandu dasar-dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun kita akan tetap akur kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan persekutuan yang akan sentiasa dijunjung dan dihormati.

TS3.1: Penyertaan Masyarakat Bumiputera dalam ekonomi negara

52. Agenda pembangunan Bumiputera akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya untuk kita melaksanakan transformasi di dalam agenda pembangunan Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.

53. Keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini. Syarikat Bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat Kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.

54. Matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hakmilik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.

55. Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenalpasti untuk dilaksanakan seperti berikut:
  • Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui, diperkukuh dan diperluas bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera. Dalam konteks ini, Kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera. Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing. EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan
    peringkat antarabangsa.
  • Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera.
    Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah untuk mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampong Bharu merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Kampong Bharu perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.
  • Ketiga: Menambahbaik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak 1.5 bilion ringgit atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal
    Kerja sebanyak tiga billion ringgit, yang saya umumkan tadi, akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera. Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak tiga bilion ringgit akan disediakan;
  • Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam. Kini, tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh tahun 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus kepada 51 peratus; dan
  • Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera. Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan yang efisien dan efektif.

    TS3.2: Meneruskan Dasar Keadilan sosial

    56. Kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen dari kuasa politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat keadilan sosial. Oleh itu, Kerajaan bertekad akan memperhebat dasar-dasar yang mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada di kampung pedalaman, estet atau kampung baru Cina, boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus
    diberikan untuk menanganinya. Oleh kerana itulah, melalui tinjauan mesra, saya inginkan maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.

    57. Rancangan Malaysia Ke-10 ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.

    58. Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimal, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan market distortions dan penyelewengan. Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya saya memberi jaminan, dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.

    59. Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami di rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air, dan jauh daripada kemudahan kesihatan. Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh, merentasi jalan yang kadang kala berdebu atau lecak berlumpur dan terdapat juga antara mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah. Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan bahawa kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, sekadar memberi contoh, dari perkampungan Melayu di Grik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom di Cameron Highlands; pekerja India di estet Ladang Mary, Kuala Selangor; masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat Iban di Mujong Balleh, Sarawak; dan masyarakat Rungus di Kudat, Sabah.

    60. Untuk ini, Kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran.

    61. Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup pekerja ladang dan displaced estate workers. Sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar atau kurang dan terletak tidak melebihi 5 kilometer daripada paip utama akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak 109 juta ringgit. Program latihan kemahiran pula akan disediakan, terutamanya kepada
    golongan muda pelbagai kaum yang tercicir daripada persekolahan, bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil-kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pusat GiatMara dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).

    62. Penduduk yang tinggal di kawasan kampung baru Cina akan juga diberi bantuan. Kini, terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan kampung baru Cina. Untuk membantu mereka membuat pembayaran premium tanah bagi perlanjutan tempoh pajakan, mereka akan disediakan pinjaman mudah yang akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional. Untuk ini, sebagai permulaan dana pembiayaan sebanyak 100 juta ringgit akan disediakan. Selain daripada itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain, Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai Hal Ehwal Kaum India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan diteruskan.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Teras Strategik Keempat : Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia

    63. Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara, terutamanya negara maju, mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara. Dalam hal ini, Kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.

    TS4.1 Peningkatan Kualiti Pelajar

    64. Untuk meningkatkan lagi kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti. Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda. Kerajaan berhasrat menjadikan profesion keguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.

    65. Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru program pendidikan agama Islam dan J-Qaf.

    66. Dalam aspek ini juga, Kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah
    rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.

    67. Sekolah Amanah, atau Trust Schools, akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah Kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut akan diberi autonomi oleh Kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar. Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.

    68. Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak 280 juta ringgit akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangssan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh (mission schools) akan memperolehi peruntukan tambahan sebanyak 70 juta ringgit setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012. Tambahan lagi, bagi membiayai pembayaran utiliti, Kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga dua ribu ringgit sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal. Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 buah sekolah bantuan modal.

    69. Anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga kepada manusia. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk mereka berjaya dalam hidup kemudian hari yang penuh persaingan dan cabaran. Pelaburan terhadap mereka adalah pelaburan terhadap masa depan negara. Untuk itu, kita telah pun menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui program PERMATA.

    70. Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya akan terdapat seorang yang pintar cerdas dari kalangan 10,000 kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta. Dari itu, berasaskan rasional ini, kita boleh menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak-kanak di Malaysia.

    71. Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012. Sasaran ini akan dicapai melalui penambahan kelas prasekolah di sekolah rendah Kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif sebanyak 10 ribu ringgit akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi prasekolah swasta.

    72. Selain daripada memperkukuhkan program prasekolah, Kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur persekolahan formal daripada 6 tahun kepada 5 tahun pada akhir tempoh Rancangan tertakluk kepada kemampuan kerajaan. Langkah ini akan meningkatkan akses kepada pendidikan formal ke arah memperkasakan pembangunan awal kanak-kanak.

    TS4.2 Mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional

    73. Di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ianya menyediakan prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ianya dilihat sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad. Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000 lepasan SPM atau 22 peratus memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan. Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi. Saya percaya bahawa ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional.

    74. Kini, hanya 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju yang lain. Kita perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, Kerajaan akan mengambil langkah berikut:
    • Pertama: memperluas liputan geran sepadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu majikan industri kecil juga sederhana melatih pekerja mereka;
    • Kedua: menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan kelayakan. Sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan dianggar memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 38,000 pekerja;
    • Ketiga: menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama, iaitu Kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat PhD dalam bidang yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu bekerja;
    • Keempat: memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan. Pada masa ini, SLDN disediakan kepada pekerja dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Melangkah ke hadapan, program ini akan juga merangkumi pelajar yang tidak menamatkan 11 tahun persekolahan;
    • Kelima: mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu atau Recognition of Prior Learning, iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja; dan
    • Keenam: Menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP.


    TS4.3 Peningkatan Kompetensi Graduan

    75. Untuk meningkatkan kompetensi graduan, employability atau boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Di samping itu, Kerajaan akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.

    76. Kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD, iaitu 75 peratus bagi Universiti Penyelidikan atau Research University, dan 60 peratus bagi universiti awam lain. Bagi mencapai sasaran ini, pelaksanaan program MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 pada tahun 2015, akan dipergiatkan. Di samping itu, pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.

    77. IPT memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran merupakan peneraju kepada penerokaan idea, konsep atau teori baru yang menjadi tunjang kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan ciptaan yang canggih lagi terkini. Terdapat hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Justeru, bagi menggalakkan kegiatan R&D, Kerajaan telah mengiktiraf UM, UKM, UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan. Bagi melonjakkan lagi R&D dalam tempoh Rancangan ini terutamanya dalam bidang teknologi dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah lagi IPTA sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Universiti tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    TS4.4 Meningkat Kecekapan Pasaran Tenaga Kerja

    78. Kecekapan pasaran buruh negara perlu dipertingkatkan. Sehubungan dengan ini, undang-undang perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan.

    79. Pada masa ini, negara mempunyai seramai lebih kurang 1.9 juta pekerja asing. Memang tidak dinafikan, kita masih memerlukan mereka, khususnya dalam pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Walau bagaimanapun, kebergantungan secara terusan terhadap pekerja asing tidak mahir akan menghalang hasrat kita untuk beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Oleh itu, dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan memperkenal kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja dalam syarikat, dan berbeza mengikut tahap kemahiran pekerja asing. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan bagi pekerja kurang mahir. Kadar tersebut akan ditingkatkan setiap tahun.

    80. Dalam konteks ini juga, untuk menarik lebih ramai tenaga kerja mahir ke negara ini, Kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation yang akan mengenal pasti kekurangan kemahiran di sektor-sektor utama, serta menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan. Dalam kita berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, terdapat lebih 700,000 rakyat Malaysia yang berkemahiran masih berkerja di luar negara. Oleh itu, Talent Corporation juga akan meneraju inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.

    81. Untuk ini, Talent Corporation akan menyediakan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran yang bersepadu dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Di samping itu, Talent Corporation akan menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk urusan imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia.

    82. Bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran yang sedia ada di IPTA, kerajaan telah pun menubuhkan Majlis Profesor Negara yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Kepakaran seramai lebih 1,400 Profesor di IPTA seluruh negara akan dapat dimanfaatkan melalui prakarsa ini. Salah satu lagi agenda nasional bagi merealisasikan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti. Untuk itu, kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang terbaik dan bermotivasi.

    83. Kerana itulah, kerajaan telah mengumumkan skim perkhidmatan yang lebih baik untuk Profesor di IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Di bawah penambahbaikan skim ini, satu kategori baru iaitu Profesor Kanan telah diwujudkan dengan diletakkan di bawah tangga gaji Gred Turus. Pelantikan ke peringkat ini hanya akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu terbabit, tanpa ada sekatan angka siling tertentu. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memperkasa gelaran Profesor Di Raja yang sedia ada dengan pakej “remuneration” yang lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran ini. Memandangkan jumlah Profesor Di Raja hari ini telah pun dihadkan mengikut peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971,
    kerajaan tidak bercadang untuk menambah kepada jumlah yang sedia diperuntukkan bagi setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam.

    Tuan Yang Di-Pertua,

    Teras Strategik Kelima : Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup

    84. Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat. Oleh itu, selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam Rancangan ini, Kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya, supaya kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

    TS5.1 Memastikan kualiti hidup yang tinggi di kawasan bandar

    85. Medan persaingan ekonomi kini tidak terhenti hanya di peringkat negara tetapi antara bandar. Aktiviti ekonomi dengan sendirinya akan tertumpu di bandar dan kepadatan firma serta modal insan berpengetahuan mendorong produktiviti serta inovasi. Dengan itu, bandar merupakan pilihan pertama dalam perjuangan mencapai pendapatan tinggi. Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan kualiti hidup bandar untuk memastikan bahawa faedah kepadatan tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan kesesakan, atau crime, grime and time. Hakikatnya, trend urbanisasi i Malaysia semakin meningkat. Pada masa ini, 67 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Berdasarkan kepadatan tersebut, Kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan
    bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang mencukupi. Dalam hal ini, Pelan Fizikal Negara Ke-2, yang akan dimuktamadkan pada tahun ini, mempunyai perancangan strategik dan terurus, agar dapat mewujudkan kawasan bandar mampat dan efisien.

    86. Selain itu, Kerajaan ingin menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan pelbagai aktiviti seperti riadah dan rekreasi. Pewujudan kawasan lapang atau hijau akan ditingkatkan. Antara contoh inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk merubah kawasan Taman Tasek Perdana, Kuala Lumpur kepada sebuah Taman Botanik dan juga pewujudan Pusat Pelancongan Malaysia Truly Asia di Kuala Lumpur. Selain itu, kawasan pinggiran sungai atau waterfront akan diindahkan sebagai kawasan rekreasi sepertimana yang telah dilaksanakan di Sungai Melaka.

    TS5.2 Meningkatkan liputan kemudahan asas di kawasan luar bandar

    87. Fokus juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar. Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.

    88. Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak. Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.

    TS5.3 Meningkatkan kecekapan pengangkutan awam

    89. Kerajaan sedang memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

    90. Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA “Greater Kuala Lumpur”, Kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi. Saya percaya projek ini merupakan satu lagi ikon kepada ibu negara kita dan akan memberi impak yang meluas dan “spillover” kepada rangkaian perniagaan berkaitan. Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150 km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.

    91. Pembinaan terminal bas dan rel seperti Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak juga akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengangkutan awam. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain
    itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandaraya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.

    TS5.4 Rakyat sihat, Masyarakat produktif

    92. Masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang kepada pembangunan negara dinamik lagi produktif. Justeru, aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat akan diberi tumpuan khusus. Akses, liputan serta kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Antara inisiatif utama Kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan 8 hospital, termasuk hospital-hospital pakar, 197 buah
    klinik dan juga tambahan 50 klinik 1Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama Rancangan ini.

    93. Pujangga menyebut bahawa akal yang sihat datangnya dari badan yang cergas. Masyarakat yang aktif bersukan akan menjadi masyarakat yang sihat dan produktif. Tambahan lagi, sukan bukan sahaja dapat menjulang dan mengharumkan nama negara tetapi juga menjadi wadah kepada perpaduan dan integrasi nasional. Sehubungan itu, Kerajaan, dengan kerjasama sektor swasta, akan memberi penekanan supaya aktiviti sukan dan rekreasi dijadikan aktiviti keluarga serta dibudayakan dalam kehidupan harian masyarakat. Justeru, kemudahan sukan dan rekreasi akan dibina serta dinaiktaraf di kawasan strategik dan mudah diakses oleh orang ramai.

    TS5.5 Perumahan asas kepada kesejahteraan hidup rakyat

    94. Hasrat utama Kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah Rancangan ini. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.

    95. Satu dana berjumlah 500 juta ringgit akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh Kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.

    TS5.6 Mempertingkatkan Keyakinan Rakyat Terhadap Keselamatan Awam

    96. Keselamatan dan ketenteraman awam akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat. Usaha dan strategi Kerajaan dalam menjamin keselamatan awam telah menampakkan hasilnya berdasarkan pengurangan indeks keseluruhan jenayah bagi suku pertama tahun ini. Rondaan polis akan dipertingkatkan, terutamanya di lima puluh hot spots yang telah dikenalpasti untuk membendung aktiviti jenayah. Usaha ini dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam yang lain. Tambahan lagi, sebanyak 496 CCTV sedang dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program Safe Cities juga terus dilaksanakan dengan menggembeleng tenaga pelbagai agensi Kerajaan seperti Polis DiRaja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

    TS5.7 Pembangunan Masyarakat yang Progresif

    97. Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu saja menggegar dunia. Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif. Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya. Langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan. Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita. Jadinya, saya menyeru agar sektor swasta meningkatkan penyertaan wanita, terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah.

    98. Di sudut lain, generasi muda adalah generasi yang penting kerana merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Kerajaan akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warganegara. Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta konstruktif. Idealisma, idea dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik. Oleh itu, Kerajaan akan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif
    dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan. Berikutan kejayaan sambutan Hari Belia yang diadakan baru baru ini di Putrajaya, saya juga ingin mengumumkan bahawa bandar Putrajaya akan dijadikan lokasi tumpuan belia yang menyediakan ruang dan peluang bagi belia menjalankan aktiviti dan program yang bermanfaat dan bersesuaian.
    Lebih penting lagi, program ini telah berjaya menjadi landasan untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan belia di samping membuka ruang dan peluang keusahawanan dan inovasi kepada mereka.

    99. Tidak dilupakan juga adalah golongan warga emas. Pada tahun 2020 dianggarkan akan terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini. Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan golongan warga emas merupakan satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk meghadapi penuaan yang aktif dan produktif. Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha
    meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyedia rumah perlindungan yang mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan. Oleh itu kerjasama antara Kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa penglibatan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.

    100. Kerajaan komited untuk meningkatkan kesejahteraan orang kurang upaya. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan. Lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan bangunan. Tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk mengarusperdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan.

    TS5.8 Kemapanan alam sekitar tanggungjawab kita

    101. Dalam tempoh Rancangan ini lagi, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharu dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, Kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharu bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharu. Garispanduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.

    102. Pendekatan Kerajaan ini bukan dibuat atas dasar tanggungjawab beretika sahaja. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh, eko-pelancongan menyediakan pelbagai peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat untuk menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara. Kita juga harus merebut peluang daripada arus perdana global, di mana permintaan bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau semakin meningkat. Dalam hal ini, saya menyeru pihak industri mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan.

    103. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan Garispanduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru Kerajaan akan direkabina untuk mematuhi piawaian bangunan hijau. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada Kerajaan juga akan ditambahbaik, dan sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaiktaraf untuk mematuhi penarafan hijau Gold Standard.

    PERUNTUKAN PEMBANGUNAN

    Tuan Yang Di-Pertua,


    104. Mulai RMKe-10, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa Kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada Kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global. Senarai terperinci program dan projek bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir bulan Ogos 2010. Bagi melaksanakan program pembangunan RMKe-10, Kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak 230 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.

    KESIMPULAN

    Tuan Yang Di-Pertua,

    105. Merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, kita bolehlah mengiaskan kejayaan untuk merealisasikan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.

    106. Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang malahan boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu namun mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar secara berpasukan. Oleh itu, setiap aset pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensinya bagi mencapai kejayaan.

    107. Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo yang umum mengetahui sebagai antara penyerang terulung dunia, akan tetapi jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut berkemungkinan kalah kerana jumlah gol yang dijaringkan mungkin tidak akan dapat mengatasi jumlah gol yang dibolos lawan. Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu.

    108. Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti mana hari ini. Namun harus barang diingat, ia tidak dapat menandingi potensi
    sumbangan yang mampu dihasilkan oleh mereka seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif.

    109. Lantaran itulah, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik, Malaysia di mana semua mempunyai rasa kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai dan digunakan sebaik-baiknya, Malaysia di mana yang menghadkan adalah hanya, sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi mencapai cita-cita.

    110. Suka tidak suka negara hari ini berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram. Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan hanya menanti tekad untuk menggapai kejuaraan.

    111. Bermula detik ini bersamalah kita memulakan perjalanan, perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Berusaha dan Bertawakallah mudah-mudahan kita bertemu jaya, Insyaallah.

    Tuan Yang Di-Pertua,
    Saya mohon mencadangkan